Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Friday, August 21, 2026

Pulang

“Najmi, jauh lagi ke?”

Aku menoleh.
Ain berdiri beberapa meter di belakang. Sebelah tangan memegang hiking stick, sebelah lagi sibuk membetulkan ikatan rambutnya yang sudah mula longgar.

“Baru separuh.”

“Separuh kepala kau.”

Zu yang berjalan di belakang Ain terus menyampuk.

“Aku rasa dia tipu.”

Aku ketawa.

“Kalau tak percaya, kita turun balik.”

“Eh, taknak.”

Di depan kami, beberapa orang daripada kumpulan kami sudah mula mendahului.
Ada yang masih rancak berbual.
Ada yang sibuk mengambil gambar.
Ada yang mula menyesal ikut hiking.

Si kecil yang ikut sekali pula entah sudah berapa kali berhenti untuk tengok daun, batu dan benda-benda yang bagi orang dewasa tak ada apa-apa. Lepas penat berjalan, kami bertukar-tukar dukung si kecil tu.




Aku tengok mereka sekejap.
Ramai sebenarnya hari itu.

Tapi entah kenapa, aku rasa aku banyak berjalan dengan Ain dan Zu.
Mungkin sebab rentak kami sama
Mungkin juga sebab mereka yang paling banyak melayan aku membebel sepanjang jalan.
Tiga orang di belakang.

Tujuh orang dewasa dan seorang budak kecil di depan. Dan aku di tengah-tengah semuanya.
Tiga-tiga sambung berjalan. Kiri kanan penuh pokok. Tanah sedikit lembap. Bunyi cengkerik sesekali kedengaran di celah bunyi tapak kasut kami.

Aku suka suasana macam ni. 
Tak banyak bunyi. Tak banyak benda nak difikirkan.
Yang ada cuma langkah.
Satu.
Dua.
Tiga.

Sampai satu ketika, Ain berhenti.

“Najmi.”

“Hm?”

“Kenapa kau laju sangat?”

Aku pandang dia.
Dia tengah menyikat rambut dengan jari sebelum mengikatnya semula. Hiking stick masih di tangan.
Entah kenapa, benda kecil itu buat aku terdiam.
Aku teringat seseorang.
Dulu ada seseorang yang selalu cakap benda sama.

“Oi, kau ingat kau hiking sorang?”

Aku masih ingat. Qiden.
Dulu kami pernah naik bukit macam ni.
Aku jalan depan. Dia jalan belakang.
Setiap lima minit dia akan mengeluh. Setiap sepuluh minit dia akan tanya,

“Berapa jauh lagi?”

Dan setiap kali aku jawab,

“Dah dekat. 5 minit je lagi”

Dia akan pandang aku dengan muka tak percaya.

“Sejak tadi kau cakap dah dekat. Berapa kali 5 minit dah ni.”

Aku gelak.
Dia marah.
Tapi tetap ikut.

“Najmi.”

Aku tersedar.
Ain tengah pandang aku.

“Kau okay?”

Aku angguk.

“Okay.”

Aku sambung berjalan.
Entah kenapa, hari itu setiap benda terasa familiar.

Batu besar dekat tepi laluan.
Pokok tumbang yang jadi tempat kami berhenti.
Malah bunyi nafas sendiri pun buat aku teringat seseorang.

Dulu kalau aku penat, Qiden akan berhenti.
Bukan sebab dia penat.
Dia cuma tahu aku penat.

“Rehat.”

“Aku okay.”

“Rehatlah bodoh.”

Aku akan duduk.
Dia akan hulurkan air.
Tak banyak.
Kadang-kadang tinggal separuh botol dia sendiri.
Tapi dia tetap hulur.

“Jom.”

Suara Zu menarik aku kembali.
Kami sambung berjalan.
Kali ini aku perlahan sedikit.
Bukan sebab penat.
Aku cuma tak mahu terlalu jauh daripada mereka.

Lucu.

Dulu aku tak pernah fikir benda-benda kecil macam ni akan menjadi kenangan.
Cara seseorang berjalan di belakang kita.
Cara dia mengeluh.
Cara dia hulur air tanpa ditanya.
Cara dia marah bila kita tak mahu berhenti.
Semua benda itu nampak biasa ketika ia sedang berlaku.
Sampai suatu hari kita tidak lagi memilikinya.

Kami sampai di puncak hampir tengah hari.
Ain terus duduk.
Hiking stick diletakkan di sebelah.
Zu sibuk ambil gambar sambil mengipas-ngipas dirinya.

Aku berdiri sedikit jauh daripada mereka.
Pandang langit. Angin atas bukit bertiup sejuk.
Sesekali menghirup kopi o yang dibuat oleh sukarelawan di checkpoint. 
Ada juga biskut dan jemput-jemput goreng.
Yang ini free. Cuma ada disediakan QR code jika ingin menyumbang.

Aku tutup mata.
Sekejap saja.
Dan untuk sesaat…aku boleh dengar suara Qiden.

“Najmi.”

Aku buka mata.
Tak ada siapa.
Cuma angin.
Aku tersenyum kecil.

Mungkin sebab terlalu lama merindui seseorang, otak kita mula pandai mencipta kehadirannya semula.
Atau mungkin…sesetengah orang memang tak pernah betul-betul pergi.
Mereka cuma berhenti berjalan di sebelah kita.

“Najmi!”

Aku menoleh.
Ain melambai.

“Jom ambil gambar.”

Aku angkat tangan.

“Jap.”

Aku pandang semula ke arah langit dan aku terfikir sesuatu.
Dulu aku ingat hiking cuma tentang sampai ke atas.
Rupanya bukan.

Kadang-kadang kita naik bukit untuk mencari pemandangan.
Tapi dalam perjalanan pulang…
kita terjumpa semula seseorang yang sudah lama kita tinggalkan dalam kenangan.




Aku tarik nafas.
Kemudian berjalan semula kepada Ain dan Zu.
Kali ini perlahan. Supaya tak ada siapa tertinggal.

Kami turun dalam kumpulan yang sama.
Ramai. Bising. Ada yang masih gelak ketawa. Ada yang mula mengeluh sebab lutut dah tak boleh dipercayai.

Sampailah langit tiba-tiba gelap. Mula-mula setitik. Kemudian dua. Lepas tu, hujan.
Masing-masing mula panik cari tempat berlindung. Dua orang yang paling depan pula terus hilang. Mungkin dah selamatkan diri dulu. 

Kami yang lain akhirnya berkumpul di bawah sebuah pondok kecil. Bersesak dengan pendaki lain yang turut terkandas. Baju mula basah, kasut melekat lumpur.

Zu duduk depan aku. Aku buka beg.

"Nah."

Aku hulur Kinder Bueno pada Zu. Zu terus capai. Kemudian dia agih-agihkan pada yang lain.

Aku senyum. Benda kecil. Cuma coklat. Tapi entah kenapa, tiba-tiba aku teringat Qiden.
Dulu kalau kami berhenti rehat, aku selalu ada benda manis dalam beg.
Kadang-kadang coklat. Kadang-kadang gula-gula.
Dia akan ambil tanpa minta, dan kalau aku tanya,

“Sedap?”

Dia jawab,

“Kalau free, semua sedap.”

Aku ketawa sendiri.

“Kenapa?”

Ain pandang aku.

Aku geleng.

“Tak ada.”




Ada yang ketawa, ada yang mengeluh, ada yang sibuk bergambar.
Aku berjalan di belakang Ain dan Zu.

Tiba-tiba aku terfikir.
Rupanya manusia tak perlu bersendirian untuk rasa kehilangan.
Kadang-kadang kita cuma perlukan satu orang yang tiada…
untuk sedar betapa ramainya orang yang ada.

Entah kenapa, kali ini aku rasa…

aku tahu macam mana rasanya.

Saturday, August 8, 2026

Sebab

“Qiden.”
“Hm.”
“Kau pernah tak rasa macam kau ditipu?”

Qiden letak phone tepi bantal.

“Soalan tu luas.”

Aku ketawa kecil.

“Kalau orang cakap dia tak ready untuk relationship.”
“Lepas tu?”
“Dua bulan lepas tu dia ada boyfriend baru.”

Qiden diam. Aku sambung.

“Tak lama lepas tu, kahwin.”

Sunyi.
Masa mula-mula dia pergi, aku ingat aku sedih sebab kehilangan dia. Rupanya bukan.
Yang aku tak boleh terima ialah ayat terakhir dia.

“Aku tak ready untuk relationship.”

Berbulan-bulan aku pegang ayat tu. Aku pujuk diri.

Mungkin dia perlukan masa.
Mungkin dia tengah fokus belajar.
Mungkin dia tengah cari diri sendiri.
Macam-macam mungkin.

Aku tak dapat ingat apa yang jadi selepas tu. Semuanya jadi kelabu dan kabur.

Sampailah hari aku nampak gambar dia dengan orang baru.
Masa tu baru aku faham. Dia bukan tak ready. Dia cuma tak ready dengan aku.

Sakit?
Memang sakit.
Sebab harapan kadang-kadang mati lebih lambat daripada hubungan itu sendiri.




“Kau tahu apa yang paling teruk?” aku tanya.
“Apa?”
“Aku mula bandingkan diri aku dengan laki tu.”

Aku perhatikan lelaki yang menjadi pilihan dia.
Cara dia berpakaian. 
Cara dia bercakap.
Cara dia bergambar.
Sampai satu tahap, aku mula membandingkan perkara yang langsung tak patut dibandingkan.
Seolah-olah kebahagiaan seseorang boleh diukur dengan senarai kelebihan yang dia ada.

Qiden tak jawab. Aku sambung.

“Aku tengok gambar dia. Aku tengok kerja dia. Aku tengok muka dia.” Aku ketawa hambar.

“Macam orang bodoh.”
“Memang bodoh.”

Aku terus pandang Qiden. Dia buat muka selamba.

“Bukan sebab kau compare.”
“Habis tu?”
“Sebab kau fikir jawapan semua soalan tu ada pada dia.”

Aku diam. Qiden sambung.

“Kalau dia lebih handsome sekalipun, apa yang kau dapat?” Tak ada.
“Kalau dia lebih kaya sekalipun?” Tak ada.
“Kalau dia lebih baik sekalipun?” Masih tak ada.

Aku tunduk.
Betul juga.
Sebab hakikatnya, aku bukan mencari jawapan.
Aku cuma mencari sebab.
Sebab manusia lebih mudah menerima kesakitan bila ada penjelasan.

Malam tu, lama aku fikir.
Mungkin selama ni aku salah.
Mungkin masalahnya bukan dia memilih orang lain.
Mungkin masalah sebenar ialah aku terlalu lama menganggap penolakan itu sebagai ukuran nilai diri aku.

Lucu.
Bila kita terluka, kita sanggup menjadi hakim yang paling kejam terhadap diri sendiri.
Kita menghukum diri atas perkara yang belum tentu menjadi kesalahan.
Kita mencari kekurangan yang mungkin tidak pernah wujud.
Dan semakin lama aku mencari, semakin aku yakin bahawa aku tidak cukup.
Tidak cukup baik. Tidak cukup berjaya. Tidak cukup menarik untuk dipilih.

Sedangkan hakikatnya, aku cuma sedang cuba memberi makna kepada sebuah penolakan yang aku sendiri tidak mampu terima. Sedangkan kadang-kadang, orang meninggalkan kita bukan kerana kita tak cukup.

Kadang-kadang mereka pergi kerana mereka memilih jalan yang berbeza.
Dan itu bukan perkara yang sama.




“Najmi.”
“Hm.”
“Kalau satu hari nanti kau jumpa orang yang betul-betul memilih kau…”

Aku pandang Qiden. Dia tersenyum kecil.

“Kau akan sedar betapa penatnya mengejar seseorang yang dari awal lagi tak pernah bercadang untuk tinggal.”

Malam tu aku tak terus sembuh.
Tak terus move on.
Tak terus lupa.

Tapi buat pertama kali…
Aku berhenti bertanya apa yang kurang pada diri aku.
Dan mula menerima bahawa tidak semua yang pergi, pergi kerana kita tidak cukup baik.
Bunyi kipas je kedengaran. Aku pandang siling. Lucu juga.

Some stories end not because they were wrong, but because they were only meant to be part of the journey, not the destination.

Tuesday, June 9, 2026

Asing

"Qiden."

"Hmm."

"Kau rasa, orang yang dah kahwin ni terus lupa kawan ke?"

Qiden letak phone atas dada. Mata dia tajam memandang siling.

"Soalan apa pukul 1 pagi ni?"

Aku sengih sikit.

"Saja."

Sunyi balik. Kipas berpusing macam biasa. Bunyi motor dia dari hari pertama aku duduk rumah tu sampai sekarang tak berubah.Yang berubah, cuma hidup kami. 




Dulu, tiap malam lepak Warung Che Senah kat Kampung Baru tu. Borak pasal nak kaya sebelum umur 30. Pasal kereta impian. Pasal girlfriend. Pasal benda-benda yang pada masa tu rasa besar sangat.

Dulu kalau aku takde duit, Qiden belanja. Kalau dia tak siap assignment, aku cover. Kalau salah seorang down, yang lagi sorang tahu. Tak payah cakap banyak.

Sekarang? Nak jumpa pun kena cari tarikh kosong.

Qiden gelak kecil. Sesi throwback 10 saat aku terhenti seketika.

“Qiden.”

“Hm?”

“Nanti kau dah kahwin… kau senyap jugak ke?”

Qiden diam lama.

Aku ingat dia dah tidur. Lepas tu dia bersuara.

“Najmi.”

“Hm.”

“Aku bukan nak tinggalkan kawan.”

“Habis tu?”

“Hidup aku cuma bertambah benda yang aku kena jaga.”

Aku pandang siling balik.

Fikir. Betul jugak.

Mungkin dewasa bukan tentang orang berubah.

Mungkin cuma hidup mula tarik semua orang ke arah berbeza.

"Bukan lupa." 

"Habis tu?"

"Dulu kita ada banyak masa, sekarang kita ada banyak tanggungjawab."

Aku diam. Telefon aku berbunyi. Group kawan lama. Nama group masih sama. Orang dalam tu je dah lain. Ada yang hantar gambar anak. Ada yang bincang pasal rumah.  Ada yang share lokasi rumah baru. Ada yang cuma muncul masa raya. Ada yang terus hilang.

Aku scroll lagi.
Gambar futsal.
Gambar naik motor hujan-hujan sebab nak makan burger pukul 12 malam.
Gambar lepak mamak. Mamak sama. Meja sama.
Orang je dah tak cukup.

"Qiden." 

"Hm?" 

"Aku takut satu hari nanti kita pun jadi macam ni."

Qiden tarik selimut sampai dada.

"Kita memang akan jauh sikit." Aku pandang dia. 

"Tapi jauh dengan hilang tu dua benda berbeza."

Malam tu, kami sambung borak sampai tertidur.
Sebab kadang-kadang, kau tak sedih sebab kawan berubah.
Kau sedih sebab tak sedar kali terakhir korang rapat tu bila.


Aku pejam mata.
Entah kenapa, setiap kali rindu datang, aku masih teringat perbualan-perbualan kecil yang dulu aku anggap biasa.
Rupanya bukan kenangan besar yang paling susah dilupakan. Tapi perkara-perkara kecil.
Cara dia gelak. Cara dia panggil nama aku. Cara dia jawab, “Hm.”

Aku pandang kerusi kosong di hujung bilik. Lama.
Kemudian aku tersenyum.

“Qiden.”

Tiada jawapan.
Seperti enam tahun yang lalu.
Namun buat pertama kali, aku rasa aku faham sesuatu.
Jauh dengan hilang memang dua benda berbeza. Sebab orang yang jauh masih boleh kembali.
Tapi orang yang hilang…
Cuma boleh ditemui semula dalam doa dan kenangan.

Jarak membuat mereka terhenti seketika, tapi tidak pernah membuat mereka berhenti menjadi sebahagian dari cerita antara satu sama lain. Mereka belajar membaca makna di sebalik balasan yang makin lambat, perjumpaan yang makin jarang, dan kehidupan yang makin sibuk.

Kadang-kadang, dewasa bukan tentang kehilangan orang.
Kadang-kadang, dewasa cuma mengajar bahawa tidak semua orang boleh berjalan bersebelahan selamanya.

Betapapun hidup yang semakin kalut, semakin banyak tanggungjawab yang datang tanpa amaran, teruslah percaya bahawa hubungan yang ikhlas tak semestinya hilang hanya kerana jarak bertambah.

Sebab akhirnya, bukan tentang siapa yang paling lama berada di sisi, tetapi tentang siapa yang walau kehidupan membawa dia ke arah berbeza, masih memilih untuk tidak melupakan.

Sampai kita gagal. Sampai kita kehilangan. Sampai akhirnya kita baru menyadari.

Dan jika doa yang aku genggam selama ini bukan milikku untuk kau kabulkan, maka ajarkan aku cara untuk melepaskannya tanpa mengira itu sebagai kehilangan.


Tuesday, November 11, 2025

Titik

Kau datang padanya, tak pernah kutahu,
Kau tinggalkan aku disaat kubutuhkanmu,
Cinta tak begini, selama ku tahu,
Tetapi ku lemah kerna cintaku padamu.



Aku pernah berada di suatu titik di mana rasanya hidup terasa menyakitkan dan menyesakkan, hingga rasanya aku tidak ingin membuka kedua mataku lagi. Walau pada akhirnya aku memilih untuk membuka kedua mataku lagi.

Aku pernah berada di suatu titik di mana aku ingin melupakan seluruh ingatanku. Tapi aku tak ingin benar-benar melupakan ingatanku, hanya saat tertentu saja aku ingin melupakannya. 

Aku pernah berada di suatu titik di mana aku ingin menyerah berkali-kali kerana merasa tak sanggup menghadapi masalah yang datang bertubi-tubi. Tapi sampai saat ini, aku masih berjalan meskipun tertatih-tatih. 

Aku pernah berada di suatu titik di mana semua rencana yang sudah kususun rapi, berantakan satu per satu. Tapi aku mulai menyusunnya lagi meskipun jatuh beberapa kali.

Aku pernah berada di suatu titik di mana rasanya berbicara dan berdiri di antara orang-orang terasa sangat menakutkan dan membuatku ingin menghilang saja. Tapi aku memilih untuk selalu berlatih meskipun hasilnya tidak sebaik orang lain. 

Mungkin lukanya belum sembuh, dan rasanya masih rapuh.

Tak banyak inginku, jangan kau ulangi,
Menyakiti aku sesuka kelakuanmu,
Ku bukan manusia yang tak berfikir,
Berulang kali kau lakukan itu padaku.




Tak semua yang hilang adalah kehilangan. Kadang, itu adalah cara semesta memberi ruang.
Mengosongkan sesuatu untuk diisi dengan perkara yang lebih baik.
Melepaskan sesuatu yang kau genggam erat, agar tanganmu bebas menerima hal lain yang lebih baik.

Tak semua yang tak terbalas adalah penolakan. Kadang, itu adalah cara semesta mengajarkan ikhlas tanpa syarat. Sebab, cinta yang tulus pun tak selalu harus diterima. Dan disitulah manusia belajar bahawa berharap adalah seni untuk mencintai, walaupun tika jawapan tidak pernah datang.

Dingin merayap perlahan memenuhi seisi kamar. Tangisan kecil mula terdengar, sayup-sayup ditelinga.
Anak kecil yang belum genap satu bulan itu sedang beradu dengan mimpi-mimpinya. Sesekali senyumnya tergambar, lalu sesaat kemudian dahinya mengenyit diiringin bibirnya yang kian mencari dimana pelepas dahaganya.

Kerana aku telah terbiasa jatuh, kehilangan, dan memaafkan.

Akan tiba masanya dimana aku tidak akan lagi berharap, masa dimana aku hanya percaya pada diri sendiri. Ya, fikiranku kacau bilau, rasanya masih sesak di dada.

Akan tiba masanya dimana aku akan berterima kasih pada diriku sendiri kerana telah bertahan sejauh ini.
Kuatku akan bertambah seiring kekecewaan yang aku terima.




Berjuang tak mesti riuh. Mengejar tak mesti berlari. Untuk didengar tak mesti berteriak.
Berjuanglah sekeras mungkin, dengan diam dan tenang. Setenang air di permukaan.

Aku bersaksi, tidak ada kembali setelah pergi dan tak ada rindu selain pilu.
Setelah ini, aku pastikan tidak ada lagi kamu.
Setelah ini, aku tunjukkan tidak ada lagi seperti dulu.

Jika cinta dia, jujurlah padaku,
Tinggalkan aku disini tanpa senyumanmu, 
Jika cinta dia, kucoba mengerti,
Mungkin kau bukan cinta sejati di hidupku.

Tuesday, May 20, 2025

Akui

Memulai hari seperti kelmarin. Terbangun letih meski sedar masih ada pertarungan yang ditaruhkan. Terduduk ringkih sebab mimpi yang tidak tunai diraih.

Bayang-bayang bergelut hebat, terlalu mengharu dalam benak. Rindu dan segala nestapa serta renjana menyesakkan ruang yang tidak menyisakan ruang gerak.

Aku bahkan tidak selamat dalam akalku sendiri. Kini tampak musykil, dalam sangkal kamu akan membuatku menggigil dalam penyangkaran.

Orang-orang masih menanyakan tentang khabarmu melalui aku. Sangkut pautnya sudah tidak ada, tetapi masih lagi aku tempat namamu tersangkut.

Masih dianggap bahawa kita masih ada, sedang kita tidak lagi setumpuk lalu sebondong surut.

Lelah juga jika aku masih terjungkal balik dalam bayangmu bahkan saat kau bukan lagi mencari teduh padaku. Berat hendak mengatakan kalau kau bahagia saat aku pun tidak dengar gaung namamu.




Seseorang yang kau pilih, tak pernah kau nyatakan, tak pernah kau kisahkan. Kini, khabar itu datang begitu cepat, jauh lebih pantas dari yang pernah kubayangkan. Seolah waktu bersekongkol untuk meninggalkanku dalam tanya yang tak terjawab.

Betapa pahitnya menyedari, bahawa rencana yang dulu kurajut diam-diam, telah kau anyam bersama orang lain.

Aku melihatmu bukan hanya dengan mata, tapi juga dengan seluruh pemahaman yang ku punya.
Aku melihat bagaimana langkahmu kadang goyah, bagaimana hatimu berkali-kali terlipat dalam ragu.
Aku melihat bagaimana kau memegang luka itu dengan gementar, seperti menimbang-nimbang apakah harus kau genggam lebih erat atau lepaskan.

Inginnya aku menyapa kalian tapi apakan daya tanganku ini kadang terasa kaku untuk menitip tulisan.

Terima kasih kerana sudah bertahan sejauh ini. Di mana usia yang semakin kurang namun aku masih lagi belajar dari berbagai pengalaman hidup orang sekelilingku.

Bertahanlah sampai dimana nafas ini habis. Tetaplah ikut jalan yang telah tuhan takdirkan atas diriku.
Berilah aku kesabaran yang luas dan juga ikhlas. Sihatkanlah mentalku saat ini agar tetap menjadi waras.




Tidak semua perjalanan harus berakhir dengan pengakuan, tetapi setiap perjalanan pasti membawa pengajaran.

Ada kalanya kita berjalan jauh, berharap dapat menemukan jawapan atau mungkin penjelasan. Namun di hujung perjalanan, yang kita temukan adalah ketenangan. Bukan kerana semua pertanyaan terjawab, tetapi kerana kita belajar menerima bahawa tidak semua hal harus difahami.

Ada perjalanan yang membawa kita pada pertemuan, ada juga yang mengajarkan kita tentang keikhlasan dalam perpisahan. Ada perjalanan yang penuh tawa, ada yang dihiasi air mata. Namun pada akhirnya, setiap langkah selalu menyimpan pelbagai makna. Bahkan ketika kita tidak mendapat pengakuan atau validasi dari sesiapa pun, perjalanan itu tetap berharga kerana kita tmembesar dengannya.

Terkadang juga, pembelajaran hadir dalam bentuk yang sunyi. Yakni dalam doa-doa yang kita panjatkan di tengah malam, dalam self-talk yang jujur saat menata hati, atau dalam keputusan untuk melanjutkan hidup dengan lebih bijaksana. 

Tetapi hidup bukanlah tentang membungkam setiap sangkaan atau menjelaskan diri kepada semua orang. Hidup adalah tentang terus memperbaiki diri. Bukan sibuk meluruskan setiap anggapan yang belum tentu berakar pada kebenaran.

Dan itu sudah cukup. Kita tidak selalu memerlukan pengakuan orang lain untuk membuktikan bahwa kita telah bergerak ke hadapan. 
Kerana sejatinya, Tuhan selalu melihat setiap upaya, sekecil apa pun itu.




Jika kita di jalan yang benar, biarlah Tuhan yang menyatakan. 
Jika kita salah, biarlah Tuhan yang menuntun kita untuk memperbaiki arah. 

Sebab manusia mudah terpedaya oleh prasangka. Maka biarkan mereka dengan prasangkanya dan kita dengan kebenaran yang kita pegang. Sesungguhnya yang lebih berharga dari penilaian manusia adalah pandangan Tuhan ke atas diri kita.

Maka, berjalanlah. 
Dengan atau tanpa tepuk tangan, dengan atau tanpa pengakuan. 

Sebab di setiap perjalanan, ada bahagian dari diri kita yang menjadi lebih kuat, lebih lembut, dan lebih memahami makna syukur.

Wednesday, April 9, 2025

Tipu

Di akhir malam, kenangan yang tersusun kemas dalam kepala masih terlintas dalam ingatan yang datang tanpa diinginkan. Membuka kembali sayatan luka yang seharusnya perlahan-lahan kering. Rindu yang seperti hantu datang menganggu. Tanpa mampu berbuat apa-apa, tanpa tahu harus berbuat apa, terkadang hanya mampu menunggu sampai perasaan itu hilang dengan sendirinya. Melepaskan ternyata bukanlah perihal yang dilakukan hanya sekali, tetapi ribuan kali untuk tiap rindu yang datang menghampiri.

Entah apa yang difikir, entah apa yang dirancang. Semuanya sudah dihitung dengan sempurna.
Strategi yang sangat ampuh, dengan berbelas helai lampiran strategi sokongan andai ada kegagalan.

Perempuan itu katanya makhluk paling lemah.
Tapi percaya atau tidak, perempuan itu mampu menjadi pemangsa yang paling buas dalam menghancurkan hidup seseorang. Dia boleh menjalin hubungan dengan ramai lelaki sedangkan dia sudah berstatus kekasih. Katanya cuma sekadar kawan, cuma sebatas teman. Dia mampu menjadi pelakon terhebat untuk menipu kepercayaan. Dia paling handal menjadi protagonis, air matanya sering kali menjadi senjata yang melumpuhkan, moga tidak tertipu dan terpedaya.

Perempuan memang sejahat itu. 

Kau yang mengajar aku tentang cinta, kau juga yang mengajar aku tentang luka. Kau yang terbaik, kau juga yang paling buruk.

Sedang mengenalimu itu adalah patah hati yang tersengaja, kepergianmu pula adalah jatuh hati yang benar-benar terperosok di lembah nestapa.




Tatkala sumbu milikku tidak lagi menerka-nerkamu, itu bererti kau tak cukup untuk menjadi nyala api bagiku. Tatkala rayu aksara milikku tak lagi menuliskanmu, itu bermakna kau telah jauh berpaling dariku.

Di tahun itu aku baru tahu ternyata ada orang sejahat itu. Orang yang berusaha menghancurkan hidup aku, meninggalkan aku sendirian di saat dia merasa sudah berjaya menghancurkan aku. Lalu tertawa puas setelahnya kerana merasa usahanya untuk menghancurkan hidup aku telah berjaya.

Di antara bingitnya dunia, aku menemukanmu dalam keheningan.
Cinta yang tak memekak, cinta yang tak terucap, hanya ada dalam bungkam yang panjang.
Tak perlu janji megah, tak perlu kata-kata yang berlarian di udara.
Kerana aku tahu dalam sunyi kita akan lebih mengerti.

Keheningan ini bukan kehampaan, melainkan ruang tempat rasa berbicara tanpa suara. Ada tatapan yang tak meminta, ada genggaman yang tak menuntut. Hanya ada keberadaan yang saling menerima.

Sedarkah rupanya kau membuang banyak waktu?
Lalu mengorbankan seseorang yang merelakan jiwa raganya hanya untukmu?
Perihal rasa, aku fikir akan membuat raga dan hati ini selalu menunggumu. Namun rupanya tidak.
Setelah rapuh dan patah itu, aku pun bersaksi, tiada bangkit, kecuali aku membiarkan engkau pergi, selamanya. 

Upaya dia untuk menghancurkan aku memang hanya berdampak sedikit untuk hidup aku. Tapi orang jahat ini sudah tidak akan aku anggap ada lagi di dunia ini. Apa yang dia lakukan tidak akan pernah dapat aku maafkan seumur hidupku. Aku tidak akan membalas dan aku tak mampu untuk membalas, maka biarlah tuhan sahaja yang membalasnya.



Tentang cinta, kau tau aku pernah secinta itu. Tentang rindu, kau tau aku pernah serindu itu. Tentang tulus, kau tau aku pernah setulus itu.

Kau hanya tak tau tentang luka, tentang cinta yang kau khianati, atas rindu yang kau abaikan dan tulus yang kau manfaatkan.Ada luka yang dirawat oleh keyakinan, ada rindu yang merangkak menuju sabar dan ada hati yang belajar mencintai waktu.

Tak perlu tergesa, sebab apa yang datang dengan lambat, seringkali adalah yang terindah yang telah ditakar dengan sempurna oleh-Nya.

Maka biarlah penantian ini menjadi indah. Seperti senja yang tak pernah gagal menghampiri malam.

Tentang luka yang menjadi pelajaran berharga, kerana kesabaran atas semua prosesnya. Nyatanya semua ini memang tidak mudah, tapi yakinlah bahawa semua ini akan selesai. Yakinlah kamu akan mencapai kemenangan dan untuk menemui kemenangan itu kamu harus terus berjuang. 

Menerima semua rejaman tajam yang datang.




Jika sudah waktunya, hujan pun akan turun. Jika sudah masanya, bunga pun akan mekar dan mewangi.
Begitulah takdir Tuhan, doa-doa kita di masa lampau akhirnya dikabulkan jika sudah waktunya.
Bukankah ada banyak hal yang diberikan sebelum kita bersedia menerimanya, hingga akhirnya berantakan dan hanya menjadi pelajaran.

Sengaja dikabulkan dengan cepat hanya untuk pelajaran. 
Sabar, jangan terburu-buru menagih doa, ya.

Kita pasti pernah menemui "mendung" dalam kehidupan. Hari-hari dimana semuanya terasa tidak menyenangkan, berat, bahkan tak jarang matamu menimpa hujan deras.

Ketika mendung itu datang, yang kita perlukan hanya sebuah tempat teduh untuk berlindung. Sekadar berdiri atau jika beruntung dapat duduk sejenak. Mendung itu petanda hujan akan tiba, maka tak salah jika menunggu atau terlanjur basah kerananya. Sesaat itu, melamun adalah hal yang paling elok untuk dilakukan. Sambil menyaksikan satu persatu rintiknya jatuh, hembusan angin yang menghembus tubuh dan aroma tanah yang perlahan menusuk hidung.

Tak ada jalan yang sepenuhnya terang, tapi kau bisa menjadi cahaya. Tak ada hati yang tak pernah terluka, tapi kau bisa belajar sembuh.

Jika waktu boleh diputar, ingin aku menghindar dari awal. Aku akan berjalan lebih cepat saat kita kali pertama bertemu.

Kau hanya persinggahan yang tak seharusnya aku lewati. Kau adalah nama yang tak perlu aku ingat. Pelajaran yang seharusnya tak perlu ada.

Aku hanya ingin memastikan satu perkara. Jika kita bertemu lagi di jalan yang lain, aku akan berlalu seperti angin. 

Tak melihat, tak mengenal, tak peduli.

Sunday, February 9, 2025

Cepat



Kukira namanya sudah lari dari sudut-sudut hati, nyatanya dia masih menetap di sini.
Kukira segala tentangnya yang terkenang akan perlahan menghilang, nyatanya bayangnya masih jelas di sanubari.
Kukira semuanya sudah selesai, nyatanya masih ada hal yang belum usai.

Tidak kah terlalu cepat bila kini kau sudah melupakanku, dan menggantikan aku dengan seseorang yang baru?

Bukankah terlalu pantas, sedang minggu lalu baru saja tubuh kita bersatu namun kini kau terus berlalu.

Apakah tidak terlalu terburu-buru, mengingatkan baru sahaja kelmarin pertengkaran itu terjadi, tanpa mengatakan apapun, tanpa mengakhiri terlebih dahulu hubunganmu denganku.

Kini kamu sudah memiliki seorang kekasih baru?

Aku tahu, mungkin aku tidak sempurna dalam mencintaimu, kasih sayang, perhatian dan kesetiaan yang aku berikan, rasanya belum cukup untuk meyakinkan dirimu bahwa kau lah pemilik hatiku.
Bahawa hanya padamulah aku pasrahkan seutuhnya cintaku.

Disaat kita berdebat, aku tidak pernah berharap untuk menang darimu, aku hanya ingin menjelaskan apa yang selama ini aku rasakan, apa yang membuat aku sakit, dan memberitahu bahawa apa yang kau lakukan itu menyakitiku. Tetapi kenapa sukar sekali rasanya untuk membuatmu mengerti dan memahami.

Sebenarnya dari awal aku sudah mengira semua ini akan terjadi, tapi sungguh aku tidak menyangka semua akan terjadi secepat ini.

Sikapmu yang mulai berubah, percakapan kita yang terasa semakin singkat, dan ketidakbetahanmu untuk berlama-lama denganku lah yang membuatku sedar.

Kini bukan lah aku yang menjadi tempatmu untuk pulang.

Ada seseorang di luar sana yang tengah menjadi orang penting baru mu.

Seseorang yang mungkin peluknya lebih hangat dari pelukanku.
Seseorang yang mungkin genggaman tangannya lebih erat dari tanganku.
Seseorang yang cintanya lebih besar dari cintaku.
Seseorang yang mungkin lebih bisa membuatmu bahagia ketimbang aku.



Ingatkah kamu, dulu saat kamu mendekatiku, kau kata bahawa aku lah seseorang yang kamu cari selama ini. Kau kata akulah orang terlama yang kau cintai berbanding orang sebelumku. 

Seseorang yang paling layak untuk kau dampingi, dan waktu itu pun kamu berjanji bahwa aku akan menjadi cinta terakhirmu.

Yang tidak akan pernah kamu tinggalkan bahkan di dalam keadaan terburuk ku.

Kini janji tinggallah janji, seperti sedang amnesia kau dengan mudah melupakan segalanya.

Tapi tak apa, aku pun tak akan memaksamu untuk melanjutkan hubungan yang memang sudah sangat ingin kau akhiri.

Aku ingin selalu melihatmu senang walaupun itu hanya dari kejauhan.
Aku selalu mengharap agar kamu sentiasa dalam keadaan sihat.
Aku juga tahu kamu sudah hilang dari pelukanku.
Aku tahu kamu sudah luruh dari genggamanku.

Kamu mampu dengan cepat melupa. Sedang aku disini bermati-matian berusaha untuk menerima.
Mengapa sesulit itu rasanya?

Aku berusaha untuk menyibukkan diri, berusaha untuk melakukan pelbagai perkerjaan supaya bayangmu tidak muncul lagi.

Memang untuk sejenak aku akan lupa tentang sosokmu. Namun saat sendiri, bayangmu kembali menghampiri.

Ketika kehilanganmu itu aku merasa tuhan itu benar-benar tidak adil. Tapi ternyata aku salah membaca tandanya. Ku sangka, kehilangan kamu itu merobek hati dan merampas kebahagiaanku. Nyatanya tuhan menganti sumber kebahagian itu dengan orang-orang sekelilingku yang selama ini aku abaikan perasaan mereka.


Diam itu jawapan juga. Saat dia memilih untuk diam tak berbicara, mungkin saatnya aku belajar untuk berhenti menunggu. Terkadang, melepaskan lebih baik dari menanti. Aku tak perlu penjelasan yang tak akan kunjung tiba.

Pada akhirnya tetap aku yang akan di salahkan. Tidak akan pernah ada satu orang pun yang mengerti tentang apa yang aku rasakan saat ini. Tidak kamu, tidak juga dengan orang-orang terdekatmu.

Sekali saja, cuba kamu rasakan bagaimana menjadi diriku, bagaimana rasanya berada di tempatku. Mungkin kamu akan mengerti rasa sakit dan kecewa seperti apa yang harus aku tahan setiap hari.

Jika ada satu nama yang tetap tersimpan di hati, percayalah itu bukan lagi namamu.
Bukan aku yang menggantikannya, tetapi kamu sendirilah yang memadamkannya.

Aku akan mencuba mengikhlasi dengan apa yang terjadi, dan semoga kamu tak menyesal dengan keputusan yang telah kau pilih.

Dan ku mohon, bagaimanapun akhirnya nanti, ku harap kamu tak akan pernah mencuba untuk kembali.

Kerana di saat kau sudah memilih untuk meninggalkan aku dan memilih dia, seketika itu aku telah mengubah doa ku.

Semoga dia mematikan hatiku, semoga dia menutup seluruh jalanmu menujuku.
Dan semoga aku tak akan pernah bisa mencintaimu lagi, meskipun kamu jadi manusia terakhir di bumi ini.

Sunday, December 15, 2024

Langit


Rembulan terdiam diantara awan bercahaya, terseok-seok terhenti di siluet dedaunan.
Awan putih bergerumbul kelabu, titis-titis air jatuh bersama harapan.

Kita bagaikan sepasang pengantin yang duduk berdua menikmati syahdunya malam.

Mendekap erat jemariku yang hadir di antara jemarimu yang mungil, menari-nari di bawah hujan rintik tanpa takut kedinginan, kerana dirimu ialah muara peluk yang aku tuju.

Bersama hangatnya tubuh kita berdua yang menyatu di rebahanmu, di gelapmu, di setiap lekuk bumi yang tidak terlepas dari jamahanmu, tak sejengkal pun luput dari cumbumu, tak kurang jangkauan usapmu.

Untukmu yang membuatku berfikir, masih adakah di benakmu sedikit ruang kosong tempatmu sekadar menggelar ingatan kisah-kisah yang dulu pernah menjadi istimewa sebelum ada kata kecewa?

Apakah perasaanmu itu masih terlalu ke selatan. Hingga untuk mengutarakannya kau kesulitan? 
Atau mungkin terlalu ke timur, hingga tak mampu kau ibaratkan?

Subuh melabuh langit rendang menyusun awan dan mega. Hening menebar ketenangan jiwa, membias pada rasa yang menyetubuh di seluruh tubuh.

Titisan embun berjajar seperti kristal jernih, rapi memeluk tubuh daun-daun menambah keheningan di ruang imaginasi tempat anganku mengingatimu.

Aku tak ingin rasa ingin memiliki ini muncul kembali. Rasanya sudah cukup untuk kembali merasa kecewa dan sakit hati. Aku tak ingin lagi mati kerana sebuah harapan.




Tidak ada yang pernah benar-benar tahu, orang lain memandangku dengan begitu penuh dan sungguh pun tidak akan pernah tahu, bahawa dalam sudut kecil hatiku masih menyimpan secuit ingatan tentangmu, senyummu, tawamu, kerdipan matamu, semuanya tentang kamu.

Apabila orang lain pun mengerti, mungkin dia hanya akan menghakimi, bahawa memang nyatanya kau pun tak mampu aku miliki. Bahawa faktanya kau tak akan mampu aku genggam lagi.

Namun biarlah, biar kupendam semua ini sendirian sahaja. Meski kegelisahan dan kesenduan hatiku ini tidak terhingga, tak mengapa. Asal kau tetap abadi dalam semestaku selamanya.

Pagi itu, aku bercerita tentang banyak hal. Tentang kamu, tentang kita, dan tentang semua hal yang membuat aku harus bertemu lagi dengan luka. Pagi itu, entah dia mendengar percakapan itu atau tidak.

"Jika aku berbicara tentang luka yang aku punya, mungkin tidak seberapa. Tapi luka tetap luka, kan?"

Setelah mendengar, kamu cuma terdiam.
Aku hanya menunduk, "Aku baik-baik saja." lanjutku di antara keheningan.

Kadang, semakin bersuara dengan lantang, semakin tak terdengar pula di telinga.
Seperti hanyut disapu oleh sang bayu.
Yang tersisa hanya sayup-sayup suara tanpa tahu apa yang ingin disampaikan.



Dan dari setiap bekas luka yang tidak memudar, ku bawa kau bersamanya.
Walau sejauh manapun kamu pergi, birat dan parut ini adalah bukti luka-luka yang kau tinggalkan.
Meski memar dan relai hati ini tidak mampu terlihat oleh mata kasar.

Apakah dapat kau lihat dan meneka, dari tawanya yang semerekah itu, sedahsyat apakah sebuah kejadian yang telah memporak-perandakannya?

Nyatanya dihadapanmu aku sebisu batu, diam tak bisa lantang berbicara. Tentang rindu. Tentang sayang. Ada apa denganku? Begitu trauma lalu hilang kepercayaan atau engkau yang sialan?

Malam kembali terdiam, langit semakin kelam, gembintang meringkuk di peraduan.
Kunang-kunang beterbangan lalu hinggap di ranting-ranting kecil.
Kerlipnya menyerupai bintang jatuh menghampiri aku yang kelimpungan sendirian.

Aku menemukan diriku yang meranggas.
Bagaikan pepohonan yang merelakan dedaunannya gugur untuk menjemput musim dingin yang paling muram.

Rasanya memang sudah semestinya kita kembali menjadi asing, tapi ku harap kali ini, kita akan melakukanya dengan benar. Semoga selepas ini takdir tidak akan pernah mempertemukan kita selamanya.

Aku penat. Aku ingin kembali pada diriku yang dulu.
Sebelum hadirnya kamu.

Wednesday, November 6, 2024

Kuat

Telah kusinggahi kesedihan, lalu tenggelam dalam ruam sakit yang menghuni raga. 
Aku temukan sosok diriku yang sedang meringkuk, entah apa yang dipeluk.
Aku merasa sebuah raga remuk yang di hatinya terdapat luka tusuk.

Padahal matanya berpinar hanya kerana diberi harapan, namun hatinya dipenuhi memar, hanya kerana sekali lagi memilih untuk percaya dan bertahan. Sungguh, lukanya melebar, sehingga kuat menjadi akar.

Ada yang mati, bukan jiwa tapi rasa. 
Ada yang ingin menyerah, bukan rasa tapi harapan.
Ada yang terlalu tinggi, bukan impian tapi ego.
Ada yang terasa dingin, bukan cuaca tapi sikap. 
Ada yang buta, bukan mata tapi hatinya. 

Bagaimana jika selama ini kita tersalah jalan? Bagaimana jika selama ini kita terlalu jauh melangkah tapi tidak pernah sampai ke tujuan? Bagaimana rasanya kita terbang bagai burung tapi tidak ada tempat untuk singgah? Selama ini yang kita dapat hanya rasa lelah, kecewa, sakit dan gelisah? 
Ya, mungkin kerana kita lupa arah dan tujuan kita yang sebenarnya. 

Mungkin selama ini bukan cinta Allah yang kita cari tapi cinta manusia. Bukan penilaian dari Allah yang ingin kita raih tapi kita sibuk mencari penilaian manusia terhadap kita. Bukan redanya Allah yang kita harapkan tapi redanya manusia. Akhirnya yang kita hasilkan cuma perkara yang semakin membuat kita lemah, hilang rasa syukur dan cukup.

Kita terlalu sibuk mencari validasi-validasi dari manusia yang membuat kita jauh hilang arah. 



Untuk diriku jangan jauh-jauh ya dari Allah, satu-satunya yang tidak akan pernah meninggalkanmu walaupun kamu salah jalan, banyak dosa, banyak khilaf dan tersesat. Allah tidak pernah sedetik pun meninggalkanmu. Jangan jauh-jauh dari-Nya ya.

"... serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu 
berjaya (di dunia dan di akhirat)."
- Al-Jumu'ah : 10 -

Selama ini aku sering tersenyum. Berpura-pura baik-baik saja. Tapi ternyata aku semakin lelah dengan dunia dan segala drama dalam isinya. Aku sering menipu diri sendiri, katanya kuat menjalani tapi setengah mati berdiri di kaki sendiri. 

Sudah dewasa ini, apalagi yang dinanti? Boleh jadi akhir hidup yang mendului menemui. 
Tapi apakah aku selama ini hanya mencari validasi? Apakah benar ini yang aku cari? 
Bagaimana aku boleh menjadi diri sendiri jika selama ini aku cuma menipu diri?

Titik tertinggi bagi seorang lelaki dalam mencintai adalah saat dia memilih untuk mengundurkan diri dalam diam, menyerah tanpa banyak soalan.

Saat dia menyedari bahawa ada atau tanpa dirinya adalah sama sahaja.
Saat rasa cintanya telah dikalahkan oleh rasa lelahnya dalam berjuang.
Saat rasa kecewa yang terus menerus datang kerana kehadirannya tidak pernah dihargai.

Dan dia pergi bukan kerana dia ingin, tapi kerana dia sedar bahawa tidak ada lagi alasan untuk bertahan.

Sekarang aku sudah tidak peduli, bagaimana orang ingin menilai baik atau buruk hidupku ini. Yang pasti aku ingin menjalani hidup dengan damai dan tenang. 
Aku tidak ingin lagi menipu diri sendiri, kalau lelah aku bilang lelah, kalau sakit bilang sakit, kalau tidak suka, marah, kalau kecewa, kalau suka, aku akan bilang pada diri. Kamu jangan menipu diri lagi ya, kalau mau menangis ya menangis saja, tapi jangan lupa kembali bangkit ya.

Bahkan aku sudah tidak tahu lagi mengenai perasaan ini karena terbiasa tak berjumpa denganmu. Mungkin, sudah saatnya aku terlihat biasa-biasa; tanpa merasa apa pun terhadapmu.

Allah tahu lelahmu, dia tahu kata-kata kasar yang mematahkan hatimu sedang kamu tidak menceritakannya kepada siapapun. Allah tahu kesedihanmu, ketika kamu melepaskan orang-orang yang kamu inginkan terus bersamamu. Allah tahu dukungan-dukungan yang hilang dari orang-orang yang kau pikir mereka sumber kekuatanmu.

Allah tahu tentang semua mimpimu yang tiba-tiba hancur tanpa alasan. Dia tahu tentang hal-hal yang memeras habis segala tenaga dan fikiranmu ketika segalanya berakhir dengan menyedihkan, tidak seperti yang kamu harapkan. Allah tahu usahamu yang terus-menerus bersikap baik kepada sesama manusia tanpa balasan balik.

Allah tahu ketabahan dan kebetahanmu di hadapan mereka, sementara hatimu diam-diam hancur di dalam. Dia tahu kekecewaanmu kepada mereka yang tidak pandai menghargai. Allah tahu usaha dan pencapaianmu yang tidak hebat di mata orang lain. Allah tahu betapa banyak situasi menghentam dan mengalahkanmu.

Dia tahu betapa sulitnya kamu berpura-pura baik-baik saja.




Setiap hari aku selalu berusaha untuk menjadi sosok yang tenang dan tidak banyak bersuara, namun tetap sahaja isi hati dan fikiran ini penuh dan berantakan.

Ada kalanya aku ingin menghindari sebentar dari segala jua situasi, namun tentu saja tidak mungkin dan pada akhirnya akan tetap aku jalani semua ini lagi dan lagi.

Entah sudah berapa kali rasanya aku ingin menyerah, namun bisikan dalam hati menyuruhku untuk cuba bertahan sekali lagi saja.

Masih lagi aku mencari sisa-sisa semangat, untuk menopang hati yang dihempas badai, menunggu rebah.

Terkadang aku juga masih bertarung dengan rasa takut, yang mungkin bagi sebahagian orang itu biasa-biasa saja.  Namun bagiku itu adalah masalah besar. 

Sesekali aku ingin tertidur tanpa perlu memikirkan apapun, aku ingin merasakan damai dan tenang walaupun hanya sesaat.

Namun untuk saat ini sepertinya semesta masih belum merestui aku untuk beristirehat. 

Maka aku akan tetap berusaha untuk kuat, kuat dan kembali kuat.

Sunday, August 11, 2024

Tikam

Yang dulu sangat kita rindukan hampir disetiap detik, kini menjadi sesuatu yang sangat ingin kita lupakan disetiap detik.


Aku mencintainya terlalu dalam, hingga lupa caranya untuk melupakan.
Dia bukanlah siapa-siapa, hanya seorang teman yang singgah sebagai pelarian.

Barangkali perpisahan memang seluka itu.

Berdarah. Meski tidak merah.
Nyeri, meski hanya mimpi.

Sudahlah.

Dulu, kita begitu yakin bahawa jarak adalah sesuatu yang dapat kita dekatkan dengan cinta yang utuh.
Bahawa mencintaimu itu adalah suatu perjalanan yang tanpa lelah, dan ke sanalah aku menentukan langkah-langkah kaki.
Tetapi, aku salah. Ternyata hanya aku seorang diri yang terus berjuang melipat jarak agak semakin mendekat, sedang kau hanya membeku. Seakan jarak kini menjadi baris-baris batas yang menjadi penghalang.

Perbezaan itu telah mencipta jurang dan menambah lipatan jarak yang terbentang di hadapan kita.
Seakan kini tanganku begitu enggan merengkuhmu.
Seakan segala bahagia yang kita susun bersama perlahan memudar.

Aku terduduk di tepian pantai menunggu senja tiba, berharap kamu masih ada di sampingku menemani.
Nyatanya, kini hanya aku seorang mendengar bisikan ombak yang menelan segala sepi.

Andaikan segalanya sudah berakhir.
Namun aku masih tidak tahu menahu bagaimana caranya untuk pergi.
Sedangkan kau selalu menemukan cara untuk memastikan perpisahan.
Kita berdiri di persimpangan jalan tanpa mengucapkan satu kata pun.
Kamu melangkah menuju pelukan jarak, dan aku mematung seorang diri berharap ini hanya sebuah ilusi.

   


Ada yang terasa lelah, bukan badan tapi pikiran.
Ada yang terasa lelah, bukan raga tapi jiwa.

Selamat malam. Untukmu yang lelah mengejar dunia.
Bertatih agar tetap dapat melangkah. Tetapi dunia ini lagi-lagi membuatmu payah.
Ceritanya berubah-ubah. Penuh dengan kejutan yang tak dapat kau duga.
Bahkan rencana yang telah kau rancang dengan matang, tak jarang berselerak di tengah jalan.

Kau ingin berteriak bukan?
Ingin memaki hidup yang tidak kau ingini.
Tak mengapa. Kau marah. Kau kesal. Kau kecewa.
Tak mengapa.

Entah kenapa aku rasa seperti dibebani dengan derita yang dulu. Perasaan yang telah lama terhapus.
Yang dulu kau tidak peduli. Dan sekarang kenapa kau tagih? Aku tidak berminat.

Aku tidak berminat dengan permainan kau. Sekejap mahu, sekejap tidak.
Dan semakin hari kau pertikaikan, kenapa aku berubah hati.
Sedang jawapan itu kita berdua yang melaluinya bersama.

Kau sibuk dengan hal kau, aku sibuk dengan hal aku.
Sampai satu tahap, aku tidak berminat untuk mesej kau.
Kau tanya aku kenapa? Aku letih. Kerana setiap kali kita bermesej, setiap kali itu juga aku rasa kita berdua seperti menyorok rasa ketidakpuasan hati antara satu sama lain.

Jujur itu apa? Bila kita berdua sudah tidak lagi menyimpan rahsia antara satu sama lain. Tapi kita masih menyembunyikannya demi menjaga hati masing-masing.
Tapi sedarkah kita, semakin lama semakin teruk. Ketidakpuasan hati yang semakin membesar sehingga akhirnya mencetuskan pergaduhan.

Dan kau tanya aku kenapa aku tawar hati? Sebab setelah banyak kali aku mencuba, kau tetap tidak mempedulikannya. Kau tetap acuh tak acuh. Dan kau harap aku fikir engkau serius?
Tidak. Aku tidak ada masa untuk benda yang remeh temeh. 



"Dia menusukkan pisau kepadamu, tapi kamu yang meminta maaf kerena darahmu mengenai kakinya. Terkesan tidak adil. Tapi inilah hidup."

- Terasahampa_ -

Aku silap untuk kesekian kalinya. Jika aku fikir bahawa sahabat baik akan terus jadi baik bilamana kita menyayanginya lebih dari itu, ia adalah mustahil. 

Kerana adakalanya manusia berubah. Sama macam aku.

Lekaslah pergi, lekasnya enyah. Jangan datang lagi ya.
Aku sudah teramat membaik dan menyedari bahawa hadirmu telah banyak kali melukaiku.

Cukup. Jangan datang lagi. Aku sudah cukup terbeban dengan rasa ini.
Rasa bersalah dengan perbuatan aku. Walaupun aku sendiri tidak pasti dengan salah aku.

Pergilah. Pergilah kasih. Kejarlah selingkuhanmu.

Aku masih lagi seperti dulu. Bersuara tentang apa pun. Berkongsi tentang apa pun.
Tapi apa yang berlaku sekarang? Tentang aku?
Aku tak perlu kata maaf darimu. Aku cuma perlu kamu.

Aku disini yang memanggil kamu beberapa kali.
Aku disini yang meminta tolong kamu beberapa kali.
Aku yang sedang tenggelam dalam darah sendiri. Yang meronta menghulur tangan.

Sedang kau? Menari-nari dan menghunus pisau, menghantar tikaman demi tikaman.

Kau tidak hanya merobeknya, malah kau mengilingnya hingga menjadi debu, dimana bahkan angin pun mampu menghembusnya lalu hilang entah kemana.

Meski lukanya terlihat memudar, tapi ketahuilah bahawa luka itu takkan pernah hilang.

Aku akan berkelana jauh sehingga aku tidak akan dapat kau temui.

Lekaslah sembuh, duhai rapuh.

Hati manusia hanya tuhan yang menggenggamnya, tidak ada yang boleh mengubahnya kecuali dia.

Meski kita sudah bermati-matian berusaha meluluhkan hati seseorang namun jika dia tidak berkehendak maka tidak akan boleh luluh.

Satu-satunya jalan, mari merayu. Merayu, meminta pada sang pemilik hati.



Kali ini aku kembali mengalah dengan jarak. Membuat jarak yang membelah benua memisahkan.

Melihat jauh ke dalam diri ini, ternyata ada tersembunyi kesedihan yang tak pernah reda.
Diri ini bertarung kalah dan mati berkali-kali seorang diri.

Aku sedayanya mengusahakan diri agar terlihat baik-baik saja dihadapanmu, dihadapan orang-orang, dihadapan keluargaku.

Aku tak mampu duhai tuhan, tapi engkau lebih dari mampu. Maka tunjukkanlah aku jalan. Bawa pergi segala resah gelisah, tuntun aku sehingga segalanya reda.

"Dan bahwasanya Dialah yang menjadikan manusia tertawa dan menangis." - An-Najm: 43

Tuhan memberikan rasa sakit ini, bukanlah untuk membuat aku mati, tapi untuk aku mampu bertahan hidup. Bukan untuk menyulitkan aku, tapi untuk meyelamatkan aku.

Ya, tuhan yang menjaga kita dari setiap satu kehilangan.

Aku sudah boleh tutup bukunya kan?

Tuesday, July 16, 2024

Awangan

"sometimes aku rasa aku minta relationship ni terlalu awal, sedangkan aku tak ready pun" 

Aku cuma mengangkat kening. Serasa seperti diperlakukan seperti sampah.

Setelah apa yang telah aku perjuangkan selama ini. Setelah apa yang telah aku angankan.

Tak lama lepas dengar ungkapan itu, aku melihat dia sudah bersama insan yang baru.

Ya, banyak kali aku ulang.

Masalah ini, antara kita dengan masalah itu. Bukannya aku dengan kau.

Kita gaduh, kita perbaiki, kita setia selamanya.

Namun impian itu sekadar impian. Angan-angan juga terbang ditiup angin.

Mana mungkin aku mampu menandingi si dia yang usianya lebih satu dekad dariku. Sudah pasti dia punyai lebih banyak pengalaman. Sudah pasti apa yang dia buat terasa seperti sang juara. Sedang aku masih bertatih untuk menyayangi sang pujaan hati.



Katakan kamu tidak mencintaiku, lalu aku akan pergi selamanya. 
Tetapi, kata demi kata tak jua menderas dari bibirmu.
Kau tetap membiarkanku tenggelam dalam kesunyian.
Keterdiamanmu menjadi titik di mana aku mulai mempersoalkan segala.
Atas keraguan yang mulai berdetak di dalam dada.

Ah, tak mengapa. 

Yang penting, dia adalah insan pertama yang istimewa buat aku. 

Dia lah wanita pertamaku, meski aku ragu adakah aku lelaki pertamanya.

Walau sudah kugadai semuanya, tak dapat juga aku pertahankan. 

Sayang sekali dia tidak dapat jadi yang pertama dan terakhir. 

Tak akan aku lupa bisikan halus yang kau ungkapkan di telingaku.
Takkan ku lupa hembusan nafas mu yang menyentuh leherku.
Takkan ku lupa hirisan halus jari jemarimu yang menyentuh kulitku.
Takkan ku lupa elus lembut rambutmu.

Akan ku kenang segala yang pernah kita lakukan bersama. 

Meski hanya kita berdua yang mengerti. Meski hanya kita berdua yang mengetahui.
Namun semuanya tidak akan ku bawa ke masa hadapan. Cukup cerita itu sekadar sampai situ.

Cukup.

Akhirnya waktu itu datang juga. Waktu di mana aku harus perlahan-lahan menghapus harapan untuk tidak bersama lagi dengan orang yang selama ini selalu ada.

Selamat menjadi orang asing.



"Dia memperlakukan aku lebih baik darimu. Tangannya juga masih belum dapat aku pegang hingga kini."

Itu ucapanmu ketika kali terakhir kita keluar.

Tidak mengapa, pergilah jika itu kebahagiaanmu, tapi tolong berhenti membandingkan diriku dengan dirinya.

Perbezaannya cukup terlihat untukku dan mungkin dirimu akan menyadarinya nanti. 

Aku bertemu dengan dirimu ketika dirimu sedang di fasa hancur, di fasa mana engkau bahkan tidak merawat dirimu dengan baik, fasa dimana engkau kehilangan banyak hal, dan aku menemanimu hingga akhir. Sedang aku juga di fasa yang tidak membaik.

Dan dia menemukanmu di saat kau berada di fasa membaik. Dan dengan mudahnya dirimu berkata "mari bertemu ketika kita di kondisi terbaik kita."

Aku ingin kau bahagia, aku ingin kau menemukan seseorang, seseorang yang memberikan semua hal yang tak pernah bisa aku berikan kepada engkau, aku ingin kau menemukan tujuan hidupmu kedepannya.

Biarkan aku, mati dalam kepura-puraanku, terbunuh dan tertebas dengan semua hal dipikiran dan hatiku. 

Jika tak bisa tumbuh, bukankah ini waktunya perasaan ini dibunuh?

Sial, aku hanya seorang pejuang. 

Aku lupa, ketika perang selesai pejuang hanya untuk dikenang.

Sunday, April 7, 2024

Sembunyi

 


Orang-orang disekelilingku mulai ramai yang menanyakan nama. Entah tersebar khabar yang seperti apa. Sampai aku dibuat hairan. Kenapa sampai sejauh itu mereka ingin mengetahui. Padahal tidak ada apapun tentang perkara itu yang pernah aku ceritakan dengan mereka.

Di tempat lain, juga ada beberapa yang mulai bertanya tentang "siapa". 
Dari yang sekadar berbisik, sampai yang bertanya terang-terangan. Meski pada akhirnya mereka semua memasang wajah kecewa. Kerana semua selalu aku jawab sama, "Belum ada".

Di laman sosial media dan beberapa group whatsaap, ternyata tidak banyak yang berbeza.
Aku hanya menanggapi semuanya sama seperti sebelum-sebelumnya.
Aku menyendiri sejenak, sedikit memikirkan kenapa sekelilingku boleh menjadi sebegitu riuh.

Sejauh yang aku ingat, tidak pernah aku menyebutkan namamu di sebarangan tempat. Sekalipun itu hanya dalam bualan ringan. Juga hampir tidak pernah ada nama, dan munculnya komenmu dari sekian banyak perkara yang aku pernah tuliskan. Meski aku tidak menampik, beberapa hal yang aku tuliskan memang masih tentang bagaimana aku melihatmu. Tapi sudah aku tata sedemikian rupa agar tidak ada yang mampu meneka. Bahkan teman-teman terdekatku sekalipun.



Aku rasa lebih baik seperti ini.

Kamu aman tersembunyi tanpa perlu ada seorang pun yang tahu, tanpa perlu aku panjang lebar mengarang cerita, tanpa perlu aku menjelaskan sekian puluh kali dari mana kisah kita dimulai. Sengaja namamu aku sembunyikan dalam-dalam, kerana aku mengerti kalau kamu akan merasa sangat tidak selesa jika nanti kamu menjadi bahan pembicaraan ramai orang.

Lebih baik seperti ini, tidak ada yang perlu tahu siapa namamu, panggilanmu, pendidikanmu, kegiatanmu dan hal-hal lain yang mungkin akan membuatmu tidak selesa jika tiba-tiba ramai orang lain datang dalam keseharianmu hanya untuk mencari tahu. Setidaknya untuk saat ini, sampai beberapa titik yang sudah ada dalam rencana. Sehingga kamu tidak perlu khawatir kalau tersembunyinya dirimu ini akan selamanya.

Alam semesta adalah tentang khabar. Khabar tentang datang dan pergi, suka dan duka, gembira dan peringatan. Tentang pergi adalah pulang. Semoga kelak ketika Allah memanggil kita pulang, kita pulang dalam keadaan terbaik, diwaktu terbaik, sebagaimana Allah memanggil orang-orang terbaikNya.

Semoga kelak aku dipertemukan dengan seseorang yang sama-sama lelah mencari, sama-sama ingin menetap, sama-sama mahu berjuang, sama-sama mahu bertahan pada satu pilihan dan sama-sama takut kehilangan.

Aku tidak memiliki kepercayaan diri yang cukup tinggi untuk menyakinkanmu mengenai perasaanku ini. Namun aku bisa saja memperjuangkannya jika kau bersedia membuka hatimu, menguatkanku, dan menemani aku melangkah.



Malam terasa sunyi. Untuk kita yang tidak punya tempat cerita.
Pada akhirnya, aku lebih memilih untuk diam dan tidak menceritakan kepada siapa-siapa.

Rasanya pasti tidak menyenangkan, kan?

Memendam semua perasaan itu seorang diri. Aku pernah mempunyai seorang teman. Katanya aku boleh menceritakan segala yang aku ingin ceritakan. Namun setelah aku ceritakan apa yang aku hadapi, aku luahkan apa yang aku lewati, mengadu keluh dan kesahku, segalanya berubah. Dia pergi meninggalkan aku. 

Sejak dari saat itu, aku sedar bahawa manusia itu makhluk yang lemah. Lalu aku memutuskan untuk tidak lagi mencari telinga dari manusia. Manusia itu boleh berubah menjadi bosan. Bosan mendengar ceritaku. Bosan mendengar keluh kesahku. Tapi Tuhan itu tidak begitu.

Bukan bererti tuhan tidak sayang. Sebab sayang lah kau mengalami perkara ini lagi. Tuhan itu mahu kau lebih mendekat padaNya lagi.

Barangkali seperti itu lah cara Tuhan mencintai hambaNya. Seperti itu lah cara Tuhan melatih hambaNya agar menjadi manusia yang tegap dan kukuh. tetaplah berbaik sangka kepadaNya. Kerna walau apa pun yang terjadi, pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Tidak sampai disini sahaja. Setelah ini, kau akan diuji oleh tulisanmu sendiri.
Maka dari itu, persiapkan diri. 

Wahai aku.

Labels

Perasaanku (20) Sayang (14) Ujian (13) Semangat (7) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)