Ada masanya, aku terhenti di dua persimpangan.
Persimpangan yang mengelirukan. Tak tahu mahu pilih yang mana.
Kanan atau kiri. Tegak atau belok. Teruskan atau patah balik.
Dan ada masanya aku cuma melalui jalan tanpa persimpangan.
Jalan yang memaksa aku untuk menelusuri onak duri yang melemaskan.
Jalan yang curam, tak beri peluang untuk aku patah balik.
Walau beribu sesalan yang menerpa di wajah.
Begitu juga dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan.
Ada masanya, aku mampu berfikiran rasional.
Ada masanya, aku cuma mampu mengikut aturan.
Sedangkan ada perkara yang aku tahu itu salah.
Bila satu peristiwa hitam itu berlaku, sumpah aku bingung.
Aku tampar pipi sendiri. Aku basuh muka, dengan harapan aku akan tersedar dari mimpi.
Ya, ini memang betul mimpi. Mimpi ngeri.
Aku cuba untuk sedapkan hati. Berkali-kali aku cuba pujuk diri sendiri.
Ini bukan salah kau. Kau cuma tersalah langkah. Kau tak tahu apa-apa. Kau dipergunakan.
Dan berbagai lagi alasan yang aku cuba cipta hanya untuk sedapkan hati yang gundah gundala.
Serentak itu juga bertalu-talu hinaan yang mencengkam jiwa raga.
Kau tak guna. Tak payah hidup. Kau dah rosak. Tak ada apa yang kau boleh buat.
Tiap perkataan yang menghiris hati, sedikit demi sedikit.
Tapi itulah, tak semua benda kita boleh terima dengan hati terbuka.
Aku sendiri persoalkan kenapa aku kena lalui pengalaman pahit itu.
Aku cuma mampu salahkan diri aku sebab terlalu naif pada ketika itu.
Iyalah, apalah sangat yang budak tujuh tahun faham tentang dunia.
Perkara yang tak patut diamalkan pun dijadikan norma, sampai tak sedar perkara itu membutakan.
Tapi entah mengapa peristiwa yang sama berulang lagi.
Mungkin itu cerita dulu. Mungkin aku yang sekarang dah faham.
Tapi cerita dulu itu takkan pernah padam.
Tak kira berapa kali aku cuba tanam dalam-dalam.
Tak kira berapa kali aku campak jauh-jauh.
Tetap, peristiwa itu masih menerawang di awangan pemikiran.
Dan aku tak ada pilihan lain, selain hidup dengannya.
Mungkin satu hari nanti aku boleh sembuh, boleh lupakan peristiwa tak diundang itu.
Atau mungkin aku tak boleh lupa, tapi jasad aku sudah terpisah dengan roh aku.
Siapa tahu?
Nak cari orang yang sudi dengar masalah kita, mungkin mudah.
Nak cari orang yang kita selesa untuk bercerita, mungkin sukar sedikit.
Tapi nak cari orang yang boleh percaya kita walaupun tahu kisah silam kita, sangat sukar.
Dan bagi aku, amat sukar untuk beri kepercayaan itu lagi kepada orang lain.
Cukuplah hanya dua tiga orang sahaja yang tahu.
Cukuplah aku dianiaya tatkala dikata
"Ah, kau boleh percayakan aku."
"Aku takkan judge kau. Aku cuma nak tolong."
Itu hanya omong kosong.
Realitinya, ramai yang mula jauhkan diri dari aku. Ramai yang pandang hina.
Ramai yang cakap belakang, yang kutuk, berkata entah apa-apa.
Seolah-olah akulah yang paling awal ke neraka.
Kalau kurang bernasib baik, kisah kau akan dijaja merata-rata.
Untuk peringatan kononnya, walhal sedang membuka aib.
Hakikat yang perlu aku terima, tak semua orang ada untuk tolong kita.
Dan aku mula belajar untuk bergerak sendiri.
Biarlah aku simpan sendiri. Biarlah aku pulih sendiri.
Itu rasanya lebih meringankan sebal di dada.
Apalah guna berkongsi cerita andai terpaksa menghadap kesan sampingan yang buruk?
Tak salah rasanya untuk aku simpan semua sendirian. Tak perlu pun kau tahu.
Andai benar niat kau mahu membantu, biarlah aku yang memilih samada mahu berkongsi atau tidak.
Biarlah aku nilai sejauh mana niat kau yang mahu membantu.
Buat masa ini, aku lebih selesa bercerita dengan mereka yang senasib denganku.
Kerna mereka lebih memahami. Kerana kami berkongsi rasa yang sama.
Walau jalan cerita yang berbeza.
Entahlah. Belum terbuka lagi hati ini untuk berkongsi secara umum.
Perasaan ni, memang susah nak jangka.
Kita rasa mereka benci pada kita, padahal mungkin tidak.
Kita rasa mereka sayang pada kita, padahal mungkin tidak.
Sakit kan?
Diri ini pun pernah melaluinya, bukan terpinggir, tetapi meminggirkan.
Seorang meminggirkan yang ramai.
Ahahahaha, jarang berlaku tu. Tapi itu tetap jadi sejarah, once upon a time lah katakan.
Redah saja apa-apa dengan hati yang lapang. Mungkin kita rasa hadirnya mereka mengguriskan hati.