Tahun ini, mungkin tahun yang agak membosankan. Serasanya satu dunia merasakan benda yang sama. Kala pendemik Covid-19 yang membadai dunia, meragut ribuan nyawa, dan aku masih terperap di rumah. Hanya memenuhi kehidupan seharian di atas katil, sekadar berbaring dan memandang kipas berputar.
Terima kasih aku ucapkan, buat yang masih mengingati diri ini. Maafkan aku kerana makin kurang mengomel di ruangan sepi ini. Sungguh, banyak yang terlintas, tapi tak terungkap oleh kata-kata. Oleh itu, masih banyak yang aku simpan di ruangan draft. Biarlah masa yang menentukan. Kerna buat masa ini, tulisan itu semua hanya untuk bacaan peribadi.
Buat yang menitipkan doa dan ucapan hari jadi, terima kasih yang tak terhingga. Small gesture yang kalian buat cukup menyentuh hati dan perasaan. Meski tahun ini boleh dikira dengan jari insan yang mengirimkan ucapan hari jadi, itu cukup membahagiakan.
Kepada Ummi dengan tulisan panjang di emel, yang berjanji akan menghantar lagi setiap tahun, Kak Qiylia yang memberikan kek, kepada Najwa yang mengirimkan coklat, dan beberapa orang yang mengirimkan teks pendek di whatsapp itu sudah cukup membuat diri ini merasa dihargai. Terima kasih.
Aku dah banyak kali merasai peritnya kehilangan. Perginya insan tersayang, hilangnya orang yang aku kenal rapat, sampai kadang-kadang aku persoalkan diri aku sendiri.
Atuk ku pergi ketika aku masih kecil, bapa sedara ku juga pergi di depan mataku sendiri, sahabatku yang pergi dulu tanpa berita, cukup meninggalkan garis di hati. Tuhan je yang tahu perasaan aku tika memandikan jenazah, mencium dahi arwah sebelum disimpan selamanya.
Entah apa silap aku. Entah apa sumpahan yang aku ada. Adakah aku tak dibenarkan menyayangi orang? Adakah aku tak dibenarkan bersama orang yang aku sayang?
Tipulah kalau tak pernah rasa seperti hidup sendiri. Terasa seperti dibiarkan sendiri.
Sejak kecil, aku dihantar di rumah pengasuh. Hujung minggu kadang-kadang tinggal di rumah mak cik. Sekolah pulak ditempatkan di asrama. Mungkin aku dilatih untuk hidup berdikari, tak bergantung dengan sesiapa. Mungkin semua ini untuk mempersiapkan aku untuk sesuatu pada masa depan. Aku tak tahu.
Dalam hidup, kita memang tak akan dapat semua apa yang kita nak. Malah kadang-kadang, untuk dapat apa yang kita nak, kita terpaksa lepaskan apa yang kita sayang. Itu orang kata pengorbanan.
Tapi kadang-kadang, kita dapat apa yang kita nak pun tak selalunya membahagiakan. Malah lebih banyak memberi kesakitan. Mungkin waktu itu baru kita sedar, baru kita belajar, baru kita terima tentang ketentuan tuhan. Yang kadang-kadang susah akal dangkal kita nak faham. Apa yang Tuhan sedang aturkan.
Tak kira siapa pun, setiap orang pasti akan ada sesuatu yang dia simpan. Tersemat kemas di dalam sanubari. Terkunci tanpa siapa pun ada kuncinya. Akan ada sesetengah perkara yang dia sembunyikan. Akan ada sesetengah perkara yang dia ingin kongsikan.
Siapa pun dia, segembira mana pun dia, walau seceria mana pun dia, walau sekerap mana pun kau lihat dia mengukir senyuman, pasti ada perkara-perkara yang pernah membuat dia terluka. Pasti ada sesuatu yang pernah menguris hatinya. Pasti ada sesuatu yang pernah membuat dia menangis. Pasti ada.
Kerna dia juga manusia. Termasuklah yang menulis nukilan ini.
Oleh kerana itu, bila kau menyangka bahawa hanya kau yang merasa, hanya kau yang melalui, hanya kau yang mengerti, kau silap. Ada orang lain yang pernah melaluinya. Bahkan ada orang lain yang pernah merasakan lebih dari apa yang kamu rasakan. Ada orang lain lain yang pernah melalui lebih teruk dari apa yang kamu pernah lalui.
Jangan kau menganggap bahawa kau lah yang paling susah, paling sakit diuji, paling berat diduga.
Namanya juga manusia. Kita semua manusia. Mana ada yang terlepas daripada diuji. Bahkan setiap ujian itu pula pasti dan pasti kau sanggup melaluinya. Itu janji tuhan.
Kadang-kadang kita ada banyak perkara nak cakap, tetapi kita lebih selesa memilih diam demi menjaga lisan, hati dan perasaan.
Kadang-kadang kita juga galak merancang, hingga kita lupa pada yang Maha Menentukan.
Kadang-kadang kita mahukan sesuatu, tetapi kita lupa meminta pada yang memilikinya.Begitu juga kadang-kadang kita ada rasa mahu berubah, tetapi langkah pertama pun masih teragak-agak mahu kita mulakan.
Katakanlah apa yang dirasakan perlu, tepat pada masa dan keadaannya. Pilihlah lisan yang baik, kerana lisan yang baik itu paparan akhlak dan amal kita.
Rancanglah secara berpada, berkiblatkan keyakinan kepada tuhan yang mencipta dan menjadikan.
Bertawakallah, kerana boleh jadi apa yang kita sukai, sebenarnya bukan yang terbaik untuk kita.
Allah-lah yang memiliki hati. Jangan sesekali kita meminta sesuatu daripada manusia sama ada timbang rasanya, belas kasihannya, perasaannya mahupun kasih sayangnya tanpa kita pinta dahulu dari yang memegang hatinya. Boleh jadi semalamnya dia berkata "tidak", tetapi bertukar "ya" keesokkan hari. Kerana hatinya Allah yang punya.
Berubahlah. Hatta jalannya payah. Nanti bila kita sudah biasa melangkah, kita akan rasakan indahnya.
Selagi kita tidak belajar untuk menerima Qada' dan Qadar, sampai bila-bila hati tidak akan tenang melihat kelebihan yang ada pada orang lain. Sampai bila pun tidak akan berlapang dada dengan ujian tuhan.
Dan untuk semua kenangan, Tuhan je tahu rindu aku macam mana. Rindu sangat.
Semoga tuhan sampaikan rindu aku pada kau.
////////
Cintaku seperti matiku, tidak akan terulang dua kali.