Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Friday, August 21, 2026

Pulang

“Najmi, jauh lagi ke?”

Aku menoleh.
Ain berdiri beberapa meter di belakang. Sebelah tangan memegang hiking stick, sebelah lagi sibuk membetulkan ikatan rambutnya yang sudah mula longgar.

“Baru separuh.”

“Separuh kepala kau.”

Zu yang berjalan di belakang Ain terus menyampuk.

“Aku rasa dia tipu.”

Aku ketawa.

“Kalau tak percaya, kita turun balik.”

“Eh, taknak.”

Di depan kami, beberapa orang daripada kumpulan kami sudah mula mendahului.
Ada yang masih rancak berbual.
Ada yang sibuk mengambil gambar.
Ada yang mula menyesal ikut hiking.

Si kecil yang ikut sekali pula entah sudah berapa kali berhenti untuk tengok daun, batu dan benda-benda yang bagi orang dewasa tak ada apa-apa. Lepas penat berjalan, kami bertukar-tukar dukung si kecil tu.




Aku tengok mereka sekejap.
Ramai sebenarnya hari itu.

Tapi entah kenapa, aku rasa aku banyak berjalan dengan Ain dan Zu.
Mungkin sebab rentak kami sama
Mungkin juga sebab mereka yang paling banyak melayan aku membebel sepanjang jalan.
Tiga orang di belakang.

Tujuh orang dewasa dan seorang budak kecil di depan. Dan aku di tengah-tengah semuanya.
Tiga-tiga sambung berjalan. Kiri kanan penuh pokok. Tanah sedikit lembap. Bunyi cengkerik sesekali kedengaran di celah bunyi tapak kasut kami.

Aku suka suasana macam ni. 
Tak banyak bunyi. Tak banyak benda nak difikirkan.
Yang ada cuma langkah.
Satu.
Dua.
Tiga.

Sampai satu ketika, Ain berhenti.

“Najmi.”

“Hm?”

“Kenapa kau laju sangat?”

Aku pandang dia.
Dia tengah menyikat rambut dengan jari sebelum mengikatnya semula. Hiking stick masih di tangan.
Entah kenapa, benda kecil itu buat aku terdiam.
Aku teringat seseorang.
Dulu ada seseorang yang selalu cakap benda sama.

“Oi, kau ingat kau hiking sorang?”

Aku masih ingat. Qiden.
Dulu kami pernah naik bukit macam ni.
Aku jalan depan. Dia jalan belakang.
Setiap lima minit dia akan mengeluh. Setiap sepuluh minit dia akan tanya,

“Berapa jauh lagi?”

Dan setiap kali aku jawab,

“Dah dekat. 5 minit je lagi”

Dia akan pandang aku dengan muka tak percaya.

“Sejak tadi kau cakap dah dekat. Berapa kali 5 minit dah ni.”

Aku gelak.
Dia marah.
Tapi tetap ikut.

“Najmi.”

Aku tersedar.
Ain tengah pandang aku.

“Kau okay?”

Aku angguk.

“Okay.”

Aku sambung berjalan.
Entah kenapa, hari itu setiap benda terasa familiar.

Batu besar dekat tepi laluan.
Pokok tumbang yang jadi tempat kami berhenti.
Malah bunyi nafas sendiri pun buat aku teringat seseorang.

Dulu kalau aku penat, Qiden akan berhenti.
Bukan sebab dia penat.
Dia cuma tahu aku penat.

“Rehat.”

“Aku okay.”

“Rehatlah bodoh.”

Aku akan duduk.
Dia akan hulurkan air.
Tak banyak.
Kadang-kadang tinggal separuh botol dia sendiri.
Tapi dia tetap hulur.

“Jom.”

Suara Zu menarik aku kembali.
Kami sambung berjalan.
Kali ini aku perlahan sedikit.
Bukan sebab penat.
Aku cuma tak mahu terlalu jauh daripada mereka.

Lucu.

Dulu aku tak pernah fikir benda-benda kecil macam ni akan menjadi kenangan.
Cara seseorang berjalan di belakang kita.
Cara dia mengeluh.
Cara dia hulur air tanpa ditanya.
Cara dia marah bila kita tak mahu berhenti.
Semua benda itu nampak biasa ketika ia sedang berlaku.
Sampai suatu hari kita tidak lagi memilikinya.

Kami sampai di puncak hampir tengah hari.
Ain terus duduk.
Hiking stick diletakkan di sebelah.
Zu sibuk ambil gambar sambil mengipas-ngipas dirinya.

Aku berdiri sedikit jauh daripada mereka.
Pandang langit. Angin atas bukit bertiup sejuk.
Sesekali menghirup kopi o yang dibuat oleh sukarelawan di checkpoint
Ada juga biskut dan jemput-jemput goreng.
Yang ini free. Cuma ada disediakan QR code jika ingin menyumbang.

Aku tutup mata.
Sekejap saja.
Dan untuk sesaat…aku boleh dengar suara Qiden.

“Najmi.”

Aku buka mata.
Tak ada siapa.
Cuma angin.
Aku tersenyum kecil.

Mungkin sebab terlalu lama merindui seseorang, otak kita mula pandai mencipta kehadirannya semula.
Atau mungkin…sesetengah orang memang tak pernah betul-betul pergi.
Mereka cuma berhenti berjalan di sebelah kita.

“Najmi!”

Aku menoleh.
Ain melambai.

“Jom ambil gambar.”

Aku angkat tangan.

“Jap.”

Aku pandang semula ke arah langit dan aku terfikir sesuatu.
Dulu aku ingat hiking cuma tentang sampai ke atas.
Rupanya bukan.

Kadang-kadang kita naik bukit untuk mencari pemandangan.
Tapi dalam perjalanan pulang…
kita terjumpa semula seseorang yang sudah lama kita tinggalkan dalam kenangan.




Aku tarik nafas.
Kemudian berjalan semula kepada Ain dan Zu.
Kali ini perlahan. Supaya tak ada siapa tertinggal.

Kami turun dalam kumpulan yang sama.
Ramai. Bising. Ada yang masih gelak ketawa. Ada yang mula mengeluh sebab lutut dah tak boleh dipercayai.

Sampailah langit tiba-tiba gelap. Mula-mula setitik. Kemudian dua. Lepas tu, hujan.
Masing-masing mula panik cari tempat berlindung. Dua orang yang paling depan pula terus hilang. Mungkin dah selamatkan diri dulu. 

Kami yang lain akhirnya berkumpul di bawah sebuah pondok kecil. Bersesak dengan pendaki lain yang turut terkandas. Baju mula basah, kasut melekat lumpur.

Zu duduk depan aku. Aku buka beg.

"Nah."

Aku hulur Kinder Bueno pada Zu. Zu terus capai. Kemudian dia agih-agihkan pada yang lain.

Aku senyum. Benda kecil. Cuma coklat. Tapi entah kenapa, tiba-tiba aku teringat Qiden.
Dulu kalau kami berhenti rehat, aku selalu ada benda manis dalam beg.
Kadang-kadang coklat. Kadang-kadang gula-gula.
Dia akan ambil tanpa minta, dan kalau aku tanya,

“Sedap?”

Dia jawab,

“Kalau free, semua sedap.”

Aku ketawa sendiri.

“Kenapa?”

Ain pandang aku.

Aku geleng.

“Tak ada.”




Ada yang ketawa, ada yang mengeluh, ada yang sibuk bergambar.
Aku berjalan di belakang Ain dan Zu.

Tiba-tiba aku terfikir.
Rupanya manusia tak perlu bersendirian untuk rasa kehilangan.
Kadang-kadang kita cuma perlukan satu orang yang tiada…
untuk sedar betapa ramainya orang yang ada.

Entah kenapa, kali ini aku rasa…

aku tahu macam mana rasanya.

No comments:

Post a Comment

Labels

Perasaanku (20) Sayang (14) Ujian (13) Semangat (7) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)