Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Saturday, August 8, 2026

Sebab

“Qiden.”
“Hm.”
“Kau pernah tak rasa macam kau ditipu?”

Qiden letak phone tepi bantal.

“Soalan tu luas.”

Aku ketawa kecil.

“Kalau orang cakap dia tak ready untuk relationship.
“Lepas tu?”
“Dua bulan lepas tu dia ada boyfriend baru.”

Qiden diam. Aku sambung.

“Tak lama lepas tu, kahwin.”

Sunyi.
Masa mula-mula dia pergi, aku ingat aku sedih sebab kehilangan dia. Rupanya bukan.
Yang aku tak boleh terima ialah ayat terakhir dia.

“Aku tak ready untuk relationship.”

Berbulan-bulan aku pegang ayat tu. Aku pujuk diri.

Mungkin dia perlukan masa.
Mungkin dia tengah fokus belajar.
Mungkin dia tengah cari diri sendiri.
Macam-macam mungkin.

Aku tak dapat ingat apa yang jadi selepas tu. Semuanya jadi kelabu dan kabur.

Sampailah hari aku nampak gambar dia dengan orang baru.
Masa tu baru aku faham. Dia bukan tak ready. Dia cuma tak ready dengan aku.

Sakit?
Memang sakit.
Sebab harapan kadang-kadang mati lebih lambat daripada hubungan itu sendiri.




“Kau tahu apa yang paling teruk?” aku tanya.
“Apa?”
“Aku mula bandingkan diri aku dengan laki tu.”

Aku perhatikan lelaki yang menjadi pilihan dia.
Cara dia berpakaian. 
Cara dia bercakap.
Cara dia bergambar.
Sampai satu tahap, aku mula membandingkan perkara yang langsung tak patut dibandingkan.
Seolah-olah kebahagiaan seseorang boleh diukur dengan senarai kelebihan yang dia ada.

Qiden tak jawab. Aku sambung.

“Aku tengok gambar dia. Aku tengok kerja dia. Aku tengok muka dia.” Aku ketawa hambar.

“Macam orang bodoh.”
“Memang bodoh.”

Aku terus pandang Qiden. Dia buat muka selamba.

“Bukan sebab kau compare.”
“Habis tu?”
“Sebab kau fikir jawapan semua soalan tu ada pada dia.”

Aku diam. Qiden sambung.

“Kalau dia lebih handsome sekalipun, apa yang kau dapat?” Tak ada.
“Kalau dia lebih kaya sekalipun?” Tak ada.
“Kalau dia lebih baik sekalipun?” Masih tak ada.

Aku tunduk.
Betul juga.
Sebab hakikatnya, aku bukan mencari jawapan.
Aku cuma mencari sebab.
Sebab manusia lebih mudah menerima kesakitan bila ada penjelasan.

Malam tu, lama aku fikir.
Mungkin selama ni aku salah.
Mungkin masalahnya bukan dia memilih orang lain.
Mungkin masalah sebenar ialah aku terlalu lama menganggap penolakan itu sebagai ukuran nilai diri aku.

Lucu.
Bila kita terluka, kita sanggup menjadi hakim yang paling kejam terhadap diri sendiri.
Kita menghukum diri atas perkara yang belum tentu menjadi kesalahan.
Kita mencari kekurangan yang mungkin tidak pernah wujud.
Dan semakin lama aku mencari, semakin aku yakin bahawa aku tidak cukup.
Tidak cukup baik. Tidak cukup berjaya. Tidak cukup menarik untuk dipilih.

Sedangkan hakikatnya, aku cuma sedang cuba memberi makna kepada sebuah penolakan yang aku sendiri tidak mampu terima. Sedangkan kadang-kadang, orang meninggalkan kita bukan kerana kita tak cukup.

Kadang-kadang mereka pergi kerana mereka memilih jalan yang berbeza.
Dan itu bukan perkara yang sama.




“Najmi.”
“Hm.”
“Kalau satu hari nanti kau jumpa orang yang betul-betul memilih kau…”

Aku pandang Qiden. Dia tersenyum kecil.

“Kau akan sedar betapa penatnya mengejar seseorang yang dari awal lagi tak pernah bercadang untuk tinggal.”

Malam tu aku tak terus sembuh.
Tak terus move on.
Tak terus lupa.

Tapi buat pertama kali…
Aku berhenti bertanya apa yang kurang pada diri aku.
Dan mula menerima bahawa tidak semua yang pergi, pergi kerana kita tidak cukup baik.
Bunyi kipas je kedengaran. Aku pandang siling. Lucu juga.

Some stories end not because they were wrong, but because they were only meant to be part of the journey, not the destination.

Labels

Perasaanku (19) Sayang (14) Ujian (13) Semangat (7) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)