Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Tuesday, June 9, 2026

Asing

"Qiden."

"Hmm."

"Kau rasa, orang yang dah kahwin ni terus lupa kawan ke?"

Qiden letak phone atas dada. Mata dia tajam memandang siling.

"Soalan apa pukul 1 pagi ni?"

Aku sengih sikit.

"Saja."

Sunyi balik. Kipas berpusing macam biasa. Bunyi motor dia dari hari pertama aku duduk rumah tu sampai sekarang tak berubah.Yang berubah, cuma hidup kami. 




Dulu, tiap malam lepak Warung Che Senah kat Kampung Baru tu. Borak pasal nak kaya sebelum umur 30. Pasal kereta impian. Pasal girlfriend. Pasal benda-benda yang pada masa tu rasa besar sangat.

Dulu kalau aku takde duit, Qiden belanja. Kalau dia tak siap assignment, aku cover. Kalau salah seorang down, yang lagi sorang tahu. Tak payah cakap banyak.

Sekarang? Nak jumpa pun kena cari tarikh kosong.

Qiden gelak kecil. Sesi throwback 10 saat aku terhenti seketika.

“Qiden.”

“Hm?”

“Nanti kau dah kahwin… kau senyap jugak ke?”

Qiden diam lama.

Aku ingat dia dah tidur. Lepas tu dia bersuara.

“Najmi.”

“Hm.”

“Aku bukan nak tinggalkan kawan.”

“Habis tu?”

“Hidup aku cuma bertambah benda yang aku kena jaga.”

Aku pandang siling balik.

Fikir. Betul jugak.

Mungkin dewasa bukan tentang orang berubah.

Mungkin cuma hidup mula tarik semua orang ke arah berbeza.

"Bukan lupa." 

"Habis tu?"

"Dulu kita ada banyak masa, sekarang kita ada banyak tanggungjawab."

Aku diam. Telefon aku berbunyi. Group kawan lama. Nama group masih sama. Orang dalam tu je dah lain. Ada yang hantar gambar anak. Ada yang bincang pasal rumah.  Ada yang share lokasi rumah baru. Ada yang cuma muncul masa raya. Ada yang terus hilang.

Aku scroll lagi.
Gambar futsal.
Gambar naik motor hujan-hujan sebab nak makan burger pukul 12 malam.
Gambar lepak mamak. Mamak sama. Meja sama.
Orang je dah tak cukup.

"Qiden." 

"Hm?" 

"Aku takut satu hari nanti kita pun jadi macam ni."

Qiden tarik selimut sampai dada.

"Kita memang akan jauh sikit." Aku pandang dia. 

"Tapi jauh dengan hilang tu dua benda berbeza."

Malam tu, kami sambung borak sampai tertidur.
Sebab kadang-kadang, kau tak sedih sebab kawan berubah.
Kau sedih sebab tak sedar kali terakhir korang rapat tu bila.


Aku pejam mata.
Entah kenapa, setiap kali rindu datang, aku masih teringat perbualan-perbualan kecil yang dulu aku anggap biasa.
Rupanya bukan kenangan besar yang paling susah dilupakan. Tapi perkara-perkara kecil.
Cara dia gelak. Cara dia panggil nama aku. Cara dia jawab, “Hm.”

Aku pandang kerusi kosong di hujung bilik. Lama.
Kemudian aku tersenyum.

“Qiden.”

Tiada jawapan.
Seperti enam tahun yang lalu.
Namun buat pertama kali, aku rasa aku faham sesuatu.
Jauh dengan hilang memang dua benda berbeza. Sebab orang yang jauh masih boleh kembali.
Tapi orang yang hilang…
Cuma boleh ditemui semula dalam doa dan kenangan.

Jarak membuat mereka terhenti seketika, tapi tidak pernah membuat mereka berhenti menjadi sebahagian dari cerita antara satu sama lain. Mereka belajar membaca makna di sebalik balasan yang makin lambat, perjumpaan yang makin jarang, dan kehidupan yang makin sibuk.

Kadang-kadang, dewasa bukan tentang kehilangan orang.

Kadang-kadang, dewasa cuma mengajar bahawa tidak semua orang boleh berjalan bersebelahan selamanya.

Betapapun hidup yang semakin kalut, semakin banyak tanggungjawab yang datang tanpa amaran, teruslah percaya bahawa hubungan yang ikhlas tak semestinya hilang hanya kerana jarak bertambah.

Sebab akhirnya, bukan tentang siapa yang paling lama berada di sisi, tetapi tentang siapa yang walau kehidupan membawa dia ke arah berbeza, masih memilih untuk tidak melupakan.

Sampai kita gagal. Sampai kita kehilangan. Sampai akhirnya kita baru menyadari.

Dan jika doa yang aku genggam selama ini bukan milikku untuk kau kabulkan, maka ajarkan aku cara untuk melepaskannya tanpa mengira itu sebagai kehilangan.


No comments:

Post a Comment

Labels

Perasaanku (19) Sayang (14) Ujian (13) Semangat (7) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)