Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Tuesday, June 7, 2022

Masa



Tik tok tik tok masa berjalan. Ia akan terus berjalan.

Aku memandang Sijil Pelajaran Malaysia yang aku terima beberapa tahun lalu.
Memori-memori lama semasa bersekolah mula menerjah fikiran.
Satu demi satu menerawang di hujung mata.

Betapa rajinnya aku menjaga sistem PA sekolah setiap kali ada perhimpunan dan majlis di dewan.
Betapa lajunya kaki aku berlari ketika mewakili sekolah dan rumah sukan untuk olahraga.
Betapa gigihnya aku menelaah mata pelajaran, menyiapkan tugasan semasa prep malam.
Betapa aktifnya aku bermain hoki dan pergi mewakili sekolah.

Dan beberapa lagi peristiwa lain yang cukuplah sekadar diri ini yang tahu.

Ah, lepas ini aku tak akan dapat lagi slip peperiksaan seperti ini.
Kehidupan selepas ini bukanlah sama seperti di alam persekolahan. Kehidupan yang semuanya sudah diatur, hanya perlu mengikut apa yang telah ditetapkan. Pergi ke sekolah, belajar, kemudian ada ujian. Tika itu sudah tahu susur atur kehidupan yang akan ditempuhi. Sudah tahu timeline, umur sekian, kau ada UPSR, umur sekian PT3, umur sekian, SPM.

Lepas tamat sekolah, tidak lagi. Segalanya bergantung pada kau semata.

Apa kau mahu sambung belajar?
Apa kau mahu terus bekerja?
Apa kau sudah mahu bekeluarga?

Semuanya terserah kepada kau. Semuanya atas bahu kau.
Kau yang bertanggungjawab untuk mencorak perjalananan hidup kau sendiri.

Mula timbul rasa risau. 

Dulu, aku tak pernah fikir apa yang akan terjadi di masa depan. Aku tak pernah rancang apa yang aku mahu buat.

Tapi kini tak lagi. Lepas ini, aku sudah menginjak ke usia dewasa. Aku tidak boleh lagi sekadar menanti perkara yang sudah ditetapkan.

Tik tok tik tok masa berjalan. Ia akan terus berjalan.
Ia akan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang.
Tanpa peduli kau sedia atau tidak. Kau mahu atau tidak.
Ia akan terus bergerak maju kehadapan.

Maka rugilah kau yang masih mahu hidup di masa silam.

Bangun dan bangkitlah. 
Bergerak ke hadapan. 
Walau hanya merangkak. 
Tetaplah bergerak.


Aku tahu hari itu kau menangis kerana impian kau dirampas oleh kenyataan.
Kegagalan demi kegagalan, dan tanggungjawab yang tak boleh ditinggalkan.
Sedaya upaya masih menghirup nafas dan kau masih kuat bertahan.

Maka aku faham. Kenapa kau memilih untuk berhenti seketika dan membiarkan kelemahan kau dilihat ramai orang.

Dan sekarang, sudah tiba masanya untuk kembali berjalan.
Tak perlu terburu-buru atau berlari kencang. Cukup sahaja jalan dengan sederhana dan semampunya.
Cuma ingat, jangan berhenti untuk selamanya.

Rehatlah saat kau lelah, menangislah saat kau sedih, marahlah saat kamu kecewa.
Tapi jangan berhenti berjuang, jangan biarkan perjuangan kau yang sudah penuh luka darah terhenti.
Lihatlah ke belakang. Air matamu yang pernah gugur, takkan sia-sia untuk semuanya.

Bahkan, luka-luka yang tercipta semuanya memberikan makna kehidupan.
Kegagalan mengajarkan kamu untuk terus berusaha dengan lebih baik.

Teruslah kejar mimpi-mimpi baik itu. Wujudkan harapan yang kau tanam untuk kehidupan.

Selalulah ingat kata berhenti itu tidak ada. Melainkan berhenti seketika untuk mengambil masa memahami erti kehidupan dan perkara yang kau perjuangkan.

Dan teruslah berjuang.

Jangan berhenti.




Terima kasih buat yang masih mengingati hari jadi aku. Sungguh, tahun ini tak banyak yang aku hajatkan.
Cukup sekadar yang terbaik untuk aku, untuk kau, untuk kita semua.
Terima kasih kepada yang memberi hadiah, walaupun bagi aku agak janggal. Sebab aku jarang dapat hadiah. Mungkin, aku tak suka orang habiskan duit untuk aku?

Buat yang masih kekal membaca blog sepi ini, terima kasih banyak-banyak.
Aku tak tahu nak ucap macam mana, tapi aku cukup bersyukur ada kalian.
Sebab aku pernah kata, blog ini ruangan peribadi. Tak pernah mimpi pun boleh dapat ramai pembaca.

Mungkin ada yang perasan cara penulisan aku yang dah berubah. Tanda aku dah matang kot? Ececeh...

Tapi apa-apa lah. Aku menulis apa yang aku rasa. Apa yang aku nak kongsi.

Mungkin kurang update dah lepas ni. Aku pun makin sibuk. 

Jangan mengharap yang tinggi-tinggi, takut kau kecewa.

Cumanya, aku akan tetap menulis.

Sebab penulis akan mati, tapi tulisan takkan mati.

No comments:

Post a Comment

Labels

Perasaanku (17) Sayang (11) Ujian (11) Semangat (6) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)

DAPATKAN PROFIX

Image result for profix

Ingin mengatasi masalah wajah berlubang? Ingin menghilangkan bekas parut jerawat dan muka berminyak? Saya mencadangkan anda untuk mencuba produk Profix Vitamin E Untuk Muka sekarang.

>>> PROFIX