Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Wednesday, October 12, 2022

Hujan



Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau bersinar berkedipan

Aku menyanyi perlahan lagu arwah Sudirman. Irama lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu bermain-main di fikiran.

Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpuput lembut

Aku memandang langit sekilas. Mendung. Awan comulonimbus kelihatan begitu menyeramkan. Terimbas seketika pengumuman MET Malaysia yang meramalkan musim banjir akan tiba tak lama lagi.

"Aih, nak hujan lah ni." Aku capai hoodie dan sangkut ke bahu. Bersiap sedia sekiranya hujan turun kerana aku tidak mempunyai payung. Kasut Vans disarung. Pintu dikunci lalu kaki terus dihayun laju menuju lif.

Mulut masih terkumat kamit menyambung lagu Hujan yang dipopularkan oleh arwah Sudirman itu.

Bagi aku, musik mempunyai peranan penting dalam kehidupan. Sama seperti menulis.
Ada banyak peristiwa yang boleh dirakam, dikenang dan diingati tika alunan musik menggetarkan telinga.
Marah, gembira, sedih, kecewa dan bermacam perasaan boleh digambarkan saat satu dua lagu dimainkan.

Ada musik yang jika dimainkan akan membuatkan kita teringat pada seseorang. Ada yang boleh membuatkan kita terkenang saat-saat gembira, sedih dan marah yang pernah dirasakan.

Bersama titis-titis hujan yang jatuh pagi ini—sama seperti perasaanku pun yang sedemikian. 
Aku melangitkan pinta agar selalu dikuatkan menghadapi segala perkara yang sedang menantiku di depan.




Kerana setiap kita selalu mempunyai mimpi.
Biarkan dia tetap menemani, bersama renyai hujan yang jatuh membasahi bumi.

Ada banyak rindu yang ingin kuungkapkan dalam sebuah pertemuan.
Ada banyak perasaan yang ingin kuutarakan.
Ada banyak cerita yang ingin kuperdengarkan.
Tetapi aku sedar bahawa ada penghalang di antara kita, hingga semua itu hanyalah sebuah ketidakmungkinan.

Aku mengeluh perlahan. Melihat locking wire yang sedikit longgar. Lilitan dah lawa, cuma tak cukup cekang.

"Kau kena double twist dulu baru dia ketat." aku menoleh. Entah selepas kali ke berapa aku memintal dawai besi itu.

"Kalau pusing macam tu je sampai bila-bila dia longgar." sambungnya lagi. Aku angkat kening.

Punya lama aku melilit dawai itu dan setelah banyak kali aku ulang baru sekarang nak bagitahu? Getus hatiku. Tapi aku abaikan sahaja. 

Mungkin nak ajar aku perasaan gagal.
Mungkin nak lihat usaha aku.
Atau mungkin saja nak buat aku nampak bodoh.

Entah, aku tak pasti.



Apa perkara yang tersulit dari kehilangan?
Bukan sulit lupakan raihan. Itu perkara lain haha.

Bagi aku, perkara yang sulit dari kehilangan adalah rasa rindu yang menetap dan harus ditanggung sendirian.
Rindu yang tak dapat dibagi kerana ia tersimpan di dalam hati.

Tapi untunglah ada Allah. Kepada Allah rindu ini kita titipkan. 
Semoga kelak nanti nasib baik akan datang kepada kita, berkumpul kembali bersama orang yang disayang di tempat terbaik yang pernah Allah ciptakan.

Semoga berjumpa kembali.

Hujan yang turun bersama airmata
Bersama pedih bersama rindu
Kau datang dan kau pergi jua
Rindu lagi

No comments:

Post a Comment

Labels

Perasaanku (19) Sayang (13) Ujian (12) Semangat (6) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)