Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Sunday, January 22, 2023

Sekarang



Masa itu sudah berlalu dan aku sudah berganjak dari tempatku semalam.
Ketawa, bahagia, menangis, sedih, belajar dan memahami.

Apakah kita boleh memilih untuk tidak mengenang perkara yang telah berlalu? Cukup cuma sekadar mengambil pengajaran dari perkara yang dilalui untuk masa-masa yang akan datang.

Maaf, aku pergi. Terima kasih, sebab pernah memberi.

Sudah aku tenggelamkan dia dalam-dalam, agar jejak lukanya tidak akan ku temukan. 
Cukup kujadikan ia sebagai pelajaran, sebab mencintai manusia terlalu dalam. 
Darimu aku belajar, bukan kamu yang harus aku kejar, sedari masa lalu dulu aku sedar, seharusnya tuhan dulu yang aku dengar.

Kita perlu tahu batasan diri dalam melakukan sesuatu. Termasuklah dalam menolong dan membantu orang lain.
Tak perlulah terlalu utamakan orang lain sehingga mengabaikan diri sendiri, hingga melukakan hati sendiri. Kerna sesungguhnya hidup sederhana itu sangat indah.
Lupakah bahawa kita ditegah untuk menyakiti diri sendiri?

Janganlah terlalu sibuk mengurus masalah orang lain, sampai lupa masalah diri sendiri.
Janganlah terlalu sibuk mengurus masalah hati, sampai lupa bermanfaat untuk ummat.

Setiap kita pastinya menyimpan luka. Setiap kita itu mencuba sebaiknya untuk melindungi luka itu.

Ada yang ceria untuk menutupi kesedihannya.
Ada yang tersenyum untuk menutupi tangisannya.
Ada yang diam untuk menutupi kekecewaannya.
Ada yang ketawa sampai menangis.



Aku cuma tidak mahu mengetahui, bukannya tidak peduli.
Aku hanya ingin menikmati saat dan tika ini, bukannya sibuk memikirkan nanti.
Biarkan segalanya jadi kejutan. Agar aku merasa lebih natural dalam menjalani kehidupan.
Tak perlu serabutkan fikiran yang sudah sedia kusut masai.

Sekarang ya sekarang. Esok ya esok.
Nikmati dulu apa yang ada sekarang. Selesaikan dulu apa yang perlu diselesaikan.

Ada beberapa titik-titik kehidupan dimana ada fasa aku merasa tenang dan lapang. Namun seusai fasa itu berlalu, aku dihadapkan pula dengan ujian kehidupan. 
Selesai satu, muncul satu. Selasai satu lagi, muncul satu lagi, dan begitulah ia berulang.

Teringat aku pada satu perumpamaan yang tak dapat aku telesuri dimana aku dapatkan. 
Katanya hidup ini bagaikan permainan video. Ada bahagian di mana kita mudah sahaja untuk pergi ke peringkat yang seterusnya. Ada bahagian yang kita berasa amat sukar untuk melepasi peringkat itu. Malah ada bahagian di mana kita tersekat di peringkat itu sahaja. Saat itu dimana kita akan gelisah meminta bantuan.

Tapi ingatlah satu peraturan sebelum meminta bantuan.
"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat" (Al-Baqarah : 45 )
Masa itu akan terus berjalan. Ia terus berjalan tanpa menoleh kebelakang lagi. Meragut segala yang ada dilaluannya. Dari siang bertukar malam, malam bertukar siang, lalu kembali semula ke siang. Begitulah ia berulang-ulang.

Lalu apakah yang kita sudah lakukan? Apakah kebaikan yang kita terjemahkan? Apakah munafaat kita kepada orang sekeliling kita? Apakah kita sudah memanfaatkan masa dengan bijak? Atau sebaliknya, kitalah yang terlena dalam permainan masa, pusaran yang membuat kita melalaikan segalanya.

Kalau hidup ini cuma bersenang lenang, macam mana mahu menguji keikhlasan hati? Kalau hidup ini cuma santai-santai sahaja, mungkin kita akan lupa, yang pada akhirnya kita pasti akan pergi dari sini. Kan?

Tahun ini, Tuhan memberikan aku banyak pelajaran yang mengetuk hati. Membuat aku sedar akan siapa diri ini. Hanya seorang hamba yang kelak akan meninggalkan dunia ini.

Kita terlalu bereuforia menyambut tahun dua ribu dua tiga, berjaga semalaman dengan nyala kembang api di langit kelam, hingga esok terbangun saat matahari lebih dulu menyingkap kehidupan.

Semoga tahun baru ini menjadi asbab untuk kita menjadi lebih baik. Semoga menemui azam baru.
Selamat memperbaharui rasa syukur dalam setiap perbuatan. Selamat menenun rasa sabar dan husnuzun dalam setiap hela nafas.





2 comments:

Labels

Perasaanku (19) Sayang (13) Ujian (12) Semangat (6) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)