Home Tutorial Hunwick?Profix
Tulis Dari Hati, Baru Dapat Menyentuh Hati

Tuesday, October 12, 2021

Pemergian


Sudah seminggu lebih kami sekeluarga bersama-sama kerabatnya yang lain mengikuti bacaan Yassin melalui aplikasi Google Meet. Aktiviti yang dijalankan khas sebagai tanda usaha dan pemangkin semangat buat tiga saudara kami yang sedang diuji oleh yang maha kuasa dengan sakit. Atas sebab PKP yang sedang berlangsung, kami tidak dapat berjumpa secara bersemuka, hanya google meet yang menjadi medium pertemuan. Berat rasa hati kerana menanggung rindu lama tidak berjumpa. Tapi ini semua aturan tuhan. 

Malam itu aku tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Bidang pengajian yang sedang aku ikuti ini mempunyai banyak ujian secara berkala. Aku cuma mempersiapkan diri agak tidak terlalu terbeban jika ada ujian dilakukan dalam masa terdekat.

Aku sedang lena tidur kerana kepenatan sebelum dikejutkan dengan deringan telefon. Nada dering yang aku tetapkan dengan lagu tema Detektif Conan hanya untuk saudara terdekat itu mengocak dada. Jam menunjukkan jam 1.47 minit pagi. Gerak hatiku menyatakan ada yang tidak kena.

Panggilan yang tidak sampai 2 minit itu menyatakan bahawa sepupuku sudah meninggal dunia. Aku tersentak. Masih terngiang-ngiang perbualan dengan arwah tentang karier dan rancangan masa hadapan. Masih terbayang detik-detik kami minum kopi tenggek dan kacang pool di warung tepi sungai pada lewat malam. Arwah yang bekerja dalam bidang yang sama seperti yang aku sedang ikuti membuatkan aku menjadikan dia seperti idola aku.

Aku sempat menghadiri pengkebumian arwah sebagai tanda penghormatan terakhir. Kubur arwah tidak jauh dari kubur arwah adikku. Proses pengkebumian itu aku ikut dari awal hingga akhir. Entah apa perasaan yang berkeceramuk di dada sepanjang proses itu berlangsung.


Selang sehari, aku dikejutkan pula dengan berita ibu saudaraku meninggal dunia. Arwah meninggal kerana covid19. Hanya mampu mengikuti perkembangan melalui WhatsApp yang dikirim oleh anak arwah. Jenazah covid19 tidak dibenarkan pelawat yang ramai kerana faktor keselamatan dan kesihatan. Terpaksa akur.

Selang sehari juga, bapa saudaraku pula meninggal dunia kerana masalah jantung. Arwah terpaksa dimasukkan ke ICU kerana keadaan yang semakin tidak mengizinkan. Aku hanya mampu melihat pengkebumian arwah melalui panggilan video kerana arwah dikebumikan di Singapura. 

Tipulah tak sedih. 3 kematian dalam tempoh 4 hari. Detik-detik yang menghantui hidup aku. 



Tiap kematian yang mendatang juga sentiasa menjentik hati ini.
Sudah sediakah kita menghadapi kematian?
Sudah sediakah kita melihat jasad sendiri terbujur kaku?
Sudah sediakah kita melihat saudara mara dan sahabat handai mengiringi pemergian kita?
Sudah sediakah kita menghadap yang maha kuasa? Pemilik seluruh alam?

Syukurlah masih diberikan masa dan kesempatan.

Mungkin untuk setiap pertemuan, aku harus mempersiapkan ruang keikhlasan.
Kerana sejak awal, pertemuan itu memang manis. Tapi jangan lupa, perpisahan juga boleh datang dengan begitu tragis.

Banyak hal yang memang perlu diikhlaskan dengan baik.

Entah pertemuan yang tidak kunjung tiba. Perpisahan yang tak diduga. Kehilangan yang begitu cepat.
Bagi orang lain mungkin kehadirannya sudah cukup lama menemani perjalanan, tapi bagi aku pula bagaimana?




No comments:

Post a Comment

Labels

Perasaanku (19) Sayang (13) Ujian (12) Semangat (6) Ukhuwah (5) Cerpen (1) Suka (1) Yasmin J Hunwick (1)